TIAN CHUA “SOUND” LIM KIT SIANG DAN DATUK JOHARI ABDUL?


Dr Kamarul Zaman Yusoff

Laporan portal berita Malaysiakini hari ini, bertajuk “Kedah PKR not slighted, will consider Kit Siang’s wisdom”, memetik Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail, sebagai berkata bahawa PKR Kedah bersikap terbuka dengan cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, supaya DAP dibenarkan bertanding di kerusi N22 Gurun dan kerusi N35 Kulim yang sebelum ini ditandingi oleh PKR dalam usaha Pakatan Harapan membentuk kerajaan negeri.

Lebih menarik ialah laporan ini turut memaparkan “nasihat” Naib Presiden PKR, Tian Chua, supaya perkara-perkara yang berkait dengan rundingan kerusi hendaklah dibicarakan secara tertutup di meja rundingan dan tidak dibicarakan secara terbuka menerusi media bagi mengelakkan gambaran negatif bahawa parti-parti komponen Pakatan Harapan sedang bergaduh merebut kerusi yang disifatkan tidak baik kepada perpaduan Pakatan Harapan.

Berita ini sangat menarik bagi saya kerana walaupun ia tidak menyatakan kepada siapa “nasihat” Tian Chua ditujukan, adalah jelas kepada sesiapa yang mengikuti perkembangan politik semasa negara, malah berdasarkan kepada konteks berita juga, bahawa mereka yang membicarakan secara terbuka menerusi media mengenai tuntutan kerusi ini ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Datuk Johari Abdul, sendiri.

Lim Kit Siang secara terbuka menuntut kerusi N22 Gurun dan kerusi N35 Kulim yang sebelum ini ditandingi oleh PKR kepada DAP manakala Datuk Johari Abdul pula secara terbuka menyatakan bahawa PKR “mahu bertanding sekurang-kurangnya 16 kerusi DUN (di Kedah)”, bahawa beliau akan bertanding di kerusi N22 Gurun dan bahawa beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baru jika PKR menang paling banyak kerusi.

Bahawa Tian Chua berani memberi “nasihat” secara terbuka menerusi media kepada taiko terbesar DAP, iaitu Lim Kit Siang, dan kepada rakan seperjuangan Tian Chua sendiri dalam PKR, iaitu Datuk Johari Abdul, supaya tidak membicarakan secara terbuka menerusi media mengenai tuntutan kerusi ini adalah perkara yang cukup menarik.

Bahawa Dr Azman Ismail berani berkata bahawa PKR Kedah bersikap terbuka dengan cadangan Lim Kit Siang supaya DAP dibenarkan bertanding di kerusi N22 Gurun, iaitu kerusi yang diidam-idamkan untuk ditandingi oleh Datuk Johari Abdul, dan kerusi N35 Kulim yang sebelum ini ditandingi oleh PKR juga adalah satu lagi perkara yang cukup menarik.

 



Comments
Loading...