Ahli Parlimen Selayang Letak Jawatan Biro Politik PKR


“Saya sudah berikan sebab-sebab mengapa saya tidak bersetuju bekerjasama dengan PAS dalam surat perletakan jawatan saya.”

(AntaraPos) – Ahli Parlimen Selayang William Leong yang juga ahli biro politik PKR meletakan jawatan sebagai membantah langkah parti itu meneruskan perbincangan untuk bekerjasama dengan PAS.

Surat perletakan jawatannya sudah dihantar kepada pucuk pimpinan PKR semalam.

Bagaimanapun jawatannya sebagai ahli Majlis Tertinggi (MPT) PKR kekal tanpa apa-apa perubahan.

“Saya tidak bersetuju parti meneruskan pendekatan bekerjasama dengan PAS apabila sudah jelas PAS sudah ada persetujuan dengan Umno,” kata Leong dipetik portal The Malaysian Insight.

“Saya sudah berikan sebab-sebab mengapa saya tidak bersetuju bekerjasama dengan PAS dalam surat perletakan jawatan saya,” katanya.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengesahkan partinya sudah menerima surat perletakan jawatan Leong sebagai anggota Biro Politik.

“Kami akan mencari jalan untuk cuba menyelesaikan masalah ini,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

PAS dalam muktamarnya di Alor Setar pada Mei lalu sepakat memutuskan kerjasama politik yang terjalin dengan PKR sejak 1999.

Bagaimanapun, PAS masih kekal dalam kerajaan Selangor yang dipimpin PKR.

Sebelum ini media melaporkan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Kenyataan Dr Wan Azizah itu dikeluarkan beberapa hari selepas beliau dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menziarahi Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang sedang berehat selepas menjalani rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

 



Comments
Loading...