Tragedi Memali: Nazri pertahan penduduk kampung


“Tindakan balas kerajaan terlalu keras. Mereka penduduk kampung, bukan pengganas.”

(FMT) – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji peristiwa Memali 1985.

Merujuk kepada serbuan polis terhadap penduduk Kampung Memali, Nazri yang ketika itu dalam Pemuda Umno berpendapat tindakan balas kerajaan terhadap kejadian itu tidak berkadar.

“Tindakan balas kerajaan terlalu keras. Mereka penduduk kampung, bukan pengganas.

“Tindakan balas kerajaan semasa menangani isu itu tidak berkadar,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pasareka Design Market di Kompleks Kraf Kuala Lumpur hari ini.

Ahli majlis tertinggi Umno itu berkata sokongan kepada penubuhan RCI itu bukan untuk menyiasat punca kejadian, tetapi respon pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad kepada keadaan berbangkit.

“Kami tidak berminat dengan sebab kejadian. Kami ingin tahu siapa yang beri arahan. Dr Mahathir perlu jawab dan kami mahu mendengarnya,” kata Nazri, sambil menambah terma rujukan mestilah sama ada tindakan balas kerajaan berkadaran atau melampau.

Beliau mengambil contoh tindak balas kerajaan semasa peristiwa Al-Maunah pada Julai 2000, di mana menteri pertahanan masa itu Datuk Seri Najib Razak tidak mengarahkan serangan walaupun diberi lampu hijau.

“Najib memutuskan untuk tidak menyerang kerana pelaku bukan pengganas komunis berseragam,” kata Nazri, sambil menambah Najib sebaliknya mengambil pendekatan memujuk.

Mengenai seruan bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam yang mahu RCI Memali ditubuhkan selepas pilihan raya, Nazri berkata perkara itu akan ditentukan Kabinet.

Peristiwa Memali 19 November 1985 menyaksikan kepungan polis di sebuah kampung di Baling, Kedah, yang menyaksikan 14 penduduk dan 4 pegawai polis terbunuh.

Pertempuran tercetus apabila ratusan penduduk mendirikan halangan bagi menghalang pihak berkuasa menangkap guru agama Ibrahim Mahmud di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan ajaran sesat, dakwaan yang ditolak PAS.

Isu tragedi Memali muncul kembali awal bulan ini apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Dr Mahathir cuba menyalahkan timbalannya, Musa.

Pada 5 Ogos, Zahid dilaporkan memetik biografi Musa yang mengatakan Dr Mahathir berada dalam negara semasa kejadian.

“Orang itu (Mahathir) berada di Malaysia, tetapi menyalahkan Musa, dan Musa dijadikan kambing hitam oleh orang itu,” kata Zahid.

Pada 20 Ogos, Zahid berkata kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan RCI ke dalam tragedi tersebut, yang mendapat sokongan kuat daripada pemimpin PAS.

 



Comments
Loading...