SPRM tuntut Guan Eng mohon maaf
(Malaysia Outlook) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuntut Lim Guan Eng membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataan beliau berhubung penahanan exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu digesa untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
Permohonan maaf yang dituntut adalah merujuk kepada kenyataan Guan Eng semalam yang menyifatkan tindakan SPRM terhadap Phee sebagai ‘penahanan haram’.
“Selepas meneliti audio dan video pertemuan Guan Eng dengan pihak media pada 24 Ogos 2017 di Komtar, Pulau Pinang, SPRM mendapati Guan Eng dengan jelas telah menggunakan perkataan ‘penahanan haram oleh SPRM’ apabila menjawab soalan wartawan berhubung isu kilang haram di Sungai Lembu tersebut.
“SPRM memandang serius kenyataan itu dan beranggapan ia merupakan satu fitnah jahat yang bertujuan untuk memburukkan nama baik SPRM serta mencemarkan dan menjejaskan reputasi SPRM,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini.
SPRM juga percaya Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Abdul Wahab Mohamed tidak pernah dalam penghakimannya berkaitan penahanan reman Boon Poh menyatakan bahawa penahanan yang dibuat oleh SPRM sebagai ‘penahanan haram’.