ANALISIS ONG KIAN MING MENARIK TETAPI JAUH TERSASAR
Salleh Said Keruak
1. Ong Kian Ming dalam analisisnya tentang PRU ke-14 menyatakan akan berlaku 15% peralihan undi Melayu kepada Pakatan Harapan seperti mana yang berlaku pada tahun 1999 dan 2008.
2. Hujah beliau mudah: setiap kali parti UMNO berpecah akan menyebabkan orang Melayu menolak BN. Ini dapat dilihat dalam PRU 1999 apabila peralihan undi Melayu berlaku sebanyak 27%. Dalam PRU 2008 pula, BN hilang majoriti dua pertiga apabila 6% lagi pengundi Melayu beralih menyokong pembangkang.
3. Pertanyaannya, bolehkah dicapai 15% peralihan sokongan Melayu ini? Kian Ming kata tidak mustahil jika melihat kepada sikap pengundi Melayu dalam PRU 1999 dan 2008, dan juga jika melihat kepada munculnya PPBM.
4. Benarkah andaian Ong Kian Ming tersebut? Hasil semakan saya kepada data lepas mendapati analisis Kian Ming tersasar dari fakta sebenar.
5. Untuk analisis yang lebih tepat, kita perlu melihat senario tahun 1988-1990. Situasi inilah yang perlu dijadikan sandaran untuk membuat analisis perubahan undi Melayu kerana sejarah perpecahan politik Melayu bermula di sini.
6. Pada tahun 1988, UMNO berpecah setelah Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh bertanding merebut jawatan Presiden UMNO. Selepas pemilihan itu, kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah keluar daripada UMNO dan menubuhkan parti Semangat 46.