TRAGEDI MEMALI (SIRI 2): RCI perlu bagi mengadili semula tragedi Memali


DARI SUDUT LAIN

Setelah ditimbulkan tentang tragedi berdarah dan korban nyawa Memali di dalam parlimen, Dewan Rakyat pada akhir tahun 1985 bersetuju supaya dibentangkan laporan siasatan penuh kes Memali. Maka dibentangkan pada tahun berikutnya apa yang dinamakan sebagai Kertas Putih Memali, ataupun ditulis tajuknya sebagai Peristiwa Memali.

Kertas tersebut disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri atas perintah Dewan Rakyat. Setelah dibentangkan, Dewan Rakyat yang pada ketika itu diwakili oleh lebih dua pertiga ahli-ahli parlimen dari parti kerajaan telah menerima Kertas Putih tersebut. PAS ketika itu hanya diwakili oleh tiga orang ahli Dewan Rakyat sahaja (setelah dua orang menyertai Hamim)

http://library.perdana.org.my/Digital_Content/PLF/WHITE-PAPERS/1006335.pdf

Walaupun Kertas Putih itu telah diterima oleh parlimen, namun masyarakat secara umumnya masih tidak berpuashati dengan laporan tersebut. Banyak persoalan-persoalan yang masih belum terjawab. Kertas Putih itu menimbulkan semakin banyak keraguan berbanding menyelesaikan masalah.

Tuan Guru Nik Aziz yang juga merupakan Ahli Dewan Rakyat pada masa itu menempelak siasatan Kertas Putih dengan berkata, “dia yang bunuh, dia yang siasat.” Menggambarkan berlaku konflik kepentingan dalam siasatan kes Memali apabila Kementerian Dalam Negeri yang terlibat dalam operasi pembunuhan di Memali itu, mengepalai siasatan itu juga. Sepatutnya siasatan tidak boleh dilakukan oleh pihak yang terlibat atau mempunyai kepentingan dalam sesuatu kes.

Antara kandungan Kertas Putih Memali adalah pengakuan beberapa orang tahanan ISA yang terlibat dalam tragedi tersebut bahawa mereka mengamalkan ajaran sesat dan sebagainya. Tetapi setelah mereka dibebaskan dari tahanan, mereka berceramah ke seluruh Malaysia menyatakan bahawa mereka diugut supaya berkata demikian ketika di dalam tahanan.

http://mulut-kecoh.blogspot.my/2012/01/tragedi-memali-1985.html

Ada juga pihak mendakwa rakaman video berkaitan peristiwa Memali yang ditayangkan di stesen-stesen televisyen adalah lakonan semata-mata. Ia bagi menunjukkan keburukan mangsa Memali dan cuba menjustifikasikan tindakan pihak berkuasa membunuh orang yang tidak bersalah.

Terdapat juga beberapa bekas pemimpin dan pegawai kerajaan yang mengeluarkan kenyataan berbeza dari Kertas Putih itu setelah mereka menamatkan khidmat di sektor kerajaan. Antara Bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tun Musa Hitam, yang mengatakan arahan menembak mangsa Memali dipengaruhi campurtangan politik. Bekas Ketua Polis Daerah Baling, Tunku Muzaffar Shah Tunku Ibrahim, pula menulis buku tentang kisah Memali, dan menyatakan bagaimana kesilapan berlaku di pihak kerajaan.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/saya-penat-tanggung-beban-sejarah-jadi-kambing-hitam-peristiwa-memali-musa-hitam-113920

https://www.malaysiakini.com/news/177241

Terlalu banyak keraguan yang timbul di dalam isu Memali ini. Nyata Kertas Putih tidak dapat menyelesaikan masalah. Oleh kerana itu, desakan supaya ditubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah amat wajar. Ini kerana RCI terdiri daripada pihak ketiga yang tidak memiliki apa-apa kepentingan terhadap Peristiwa Memali, dan akan menyiasat semua pihak yang terlibat baik pihak berkuasa, mangsa mahupun pihak lain.

RCI juga perlu dilakukan sesegera yang mungkin, memandangkan pihak yang terlibat kebanyakannya masih hidup. Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri waktu itu masih ada, Tun Musa Hitam sebagai Menteri Dalam Negeri waktu itu, Tunku Muszaffar Shah sebagai Ketua Polis Daerah Baling waktu itu, dan balu-balu serta mangsa-mangsa Memali yang terselamat juga kebanyakannya masih hidup. Mereka semua perlu menjadi saksi dan disiasat bagi mencari punca sebenar dan siapa sebenarnya dalang yang bersalah. Namun niat utama bukanlah untuk menghukum, tetapi supaya keadilan dapat ditegakkan dan kebenaran diberikan kepada mereka yang benar-benar berhak.

 



Comments
Loading...