Brown gagal kemuka bukti PM rasuah Hadi
(Utusan Online) – Sehingga pukul 4 petang waktu United Kingdom (UK) atau 11 pagi di Malaysia 31 Ogos 2017, Ketua Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown masih gagal mengemukakan bukti di Mahkamah Tinggi London bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi rasuah berjumlah RM90 juta kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Portal berita The Third Force atau www.thethirdforce.net melaporkan, kegagalan Brown me- nunjukkan bukti itu secara tidak langsung telah melanggar perintah mahkamah bertarikh 2 Ogos 2017 yang memerlukannya untuk membela diri berdasarkan tarikh yang ditetapkan.
Menurut portal tersebut, kegagalan Brown itu secara tidak langsung menunjukkan beliau berniat jahat bagi menggulingkan pemimpin yang dilantik secara demokratik dalam sebuah negara yang berdaulat.
“Sekarang, Brown seperti cuba untuk melengahkan perbicaraan itu sehingga Malaysia melepasi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan memohon tempoh lanjutan perbicaraan dari hakim.
“Brown memohon hakim memberi tempoh tambahan untuk meneruskan pembelaan dirinya yang ditentang Abdul Hadi tersebut, tetapi permohonan itu ditolak. Walaupun mempunyai masa yang cukup sejak tahun lalu untuk menunjukkan buktinya, Brown gagal berbuat demikian, bermaksud dakwaannya yang memiliki dokumen-dokumen untuk menentang Najib adalah satu penipuan,” lapor portal tersebut hari ini.
Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April lalu.
Tindakan itu susulan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos tahun lalu yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan Pas sebagai usaha Perdana Menteri menarik kepemimpinan Pas untuk menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Abdul Hadi mengarahkan peguamnya di UK untuk menghantar tiga pucuk surat yang meminta Brown memohon maaf terhadap tuduhan palsu, tetapi tiada maklum balas yang diterima.
Tambah portal itu, Brown diminta hadir semula ke Mahkamah Tinggi London pada Oktober ini yang memungkinkannya untuk cuba melengah-lengahkan lagi perbicaraan itu.
Bagaimanapun, menurut portal berkenaan, perkembangan yang berlaku hari ini adalah seperti membayangkan bahawa Pakatan Harapan diketuai DAP yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu sangat bersusah-payah untuk menjatuhkan Najib berdasarkan artikel-artikel yang ditulis oleh Brown.