Sejauhmanakah konflik dalaman PKR ingin diheret Rafizi?
Ahli akar umbi dan pemimpin PKR terkejut apabila Rafizi menyenaraikan 10 nama pemimpin PKR yang menyokong rundingan PKR-PAS yang dianggapnya tidak mempertahankan prinsip perjuangan PKR dan boleh menyebabkan calon PKR tewas dalam PRU nanti.
Beliau juga mendedahkan sikap segelintir pemimpin PKR yang pernah mengkhianati perjanjian PRN Sarawak dan suka mengubah balik keputusan yang sudah diputuskan dalam meeting Biro Politik PKR sebelum ini.
Tidak habis dengan pendedahan itu, beliau mendakwa pula wujudnya 2 hingga 3 ahli Biro Politik PKR yang tidak berdisplin dan menggunakan nama ‘sumber dalaman parti’ setiap kali berbeza pendapat sebanyak beberapa kali sebelum ini sehingga mencelarukan PKR.
Selepas Anwar secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan rasmi menyokong rundingan PKR-PAS yang disokong Azmin dan majoriti anggota Biro Politik PKR itu, Rafizi mendakwa pula kenyataan rasmi Anwar itu boleh disalah erti dan dicemuh akibat keterbatasan maklumat yang Anwar ada, yang didorongi satu-satunya saluran maklumat yang terhad melalui peguamnya (yang juga pemimpin PKR) iaitu Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan N Surendren yang didakwanya juga menyokong rundingan dan kerjasama PKR-PAS itu.
Adakah Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan N Surendren selaku peguam Anwar dan pemimpin PKR bias atau berat sebelah dengan maklumat yang mereka salurkan kepada Anwar selama ini?
Adakah ketiga-tiga peguam Anwar itu satu-satunya saluran maklumat yang Anwar ada? Tidakkah DS Wan Azizah dan YB Nurul Izzah Anwar selaku isteri dan anak DS Anwar memainkan peranan sebagai penyalur maklumat yang tepat dan tidak bias kepada DS Anwar? Jika Ya, adakah Rafizi mempertikaikan kredibiliti DS Wan Azizah dan YB Nurul secara tidak langsung dalam dakwaan terbaru ini?
Masih tidak boleh ditafsirkan lagikah bahawa segala dakwaan Rafizi di atas adalah satu tindakan ‘menyerang’ sehingga boleh menjejaskan imej PKR dan PAKATAN HARAPAN di mata masyarakat dan pengundi di Negara ini?
Lebih mengejutkan lagi jika Lembaga Displin PKR hanya memejamkan mata dari tindakan Rafizi itu. Satu tindakan yang mungkin dilihat tidak konsisten dengan tindakan lembaga itu sebelum ini terhadap isu Tan Sri Khalid Ibrahim dan S Manikavasagam. Bukankah sikap Lembaga Displin PKR itu boleh mengundang persepsi negatif bahawa majoriti ahli Lembaga Displin PKR itu mungkin juga dari ‘Team B’ Rafizi?.
Kita tertanya-tanya juga, kenapakah polemik dalaman PKR ini dicetuskan di fasa terakhir persiapan PKR dan PAKATAN HARAPAN dalam mendepani PRU14 yang hampir tiba?
Siapakah yang bertanggungjawab dan apakah motif individu tersebut dalam mencetuskan polemik ini? Adakah mungkin ‘beliau’ berkhidmat untuk pihak ketiga yang cuba menjejaskan peluang PKR dan PAKATAN HARAPAN untuk menawan Putrajaya?
Yang pasti sikap PKR untuk berunding dengan PAS adalah keputusan parti dengan persetujuan dan sokongan dari DS Anwar Ibrahim.
Tetapi kenapakah Rafizi sanggup membantah secara terbuka di media apabila konflik dalaman parti sepatutnya diselesaikan secara dalaman lebih-lebih lagi di saat kritikal ini?
Tidak pelik apabila Dr Afif Bahardin selaku Timbalan Ketua AMK Pusat membantah kenyataan terbuka Rafizi dalam polemik rundingan PKR-PAS ini.
Sama-sama kita saksikan sejauhmanakah konflik dalaman PKR ini ingin diheret Rafizi.
Huzir Sulaiman
Penganalisis Politik Negara