SIAPA YANG BERTANGGUNGJAWAB DI ATAS KEHANCURAN PAKATAN PEMBANGKANG?


NGO dan rakyat Malaysia yang prihatin perlu mendesak untuk mengetahui sebab sebenar mengapa PAS ditendang keluar dari pakatan pembangkang. Kita telah diberitahu bahawa ia adalah kerana komitmen PAS terhadap pindaan Rang Undang-Undang Syariah. Adakah ia benar? Tidakkah bekas Menteri Besar Kelantan Nik Aziz meminda dan meluluskan Rang undang-undang yang sama di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 80an?

Kua Kia Song

Prospek untuk pertandingan 3 atau 4 penjuru di dalam pilihanraya umum akan datang tampak jelas di kalangan rakyat Malaysia. Delusi di dalam Pakatan Harapan berada dalam penafian, dengan mendakwa pertandingan banyak penjuru memberi keuntungan untuk calon-calon mereka!

Bagi mereka yang berharap selama beberapa dekad untuk melihat penghujung dominasi Barisan Nasional dan politik perkauman, rasuah dan dasar-dasar yang tidak adil, ini adalah satu kejutan terutama selepas persepakatan yang di menterai di antara parti pembangkang termasuk PAS dalam pilihan raya sejak pertengahan 80an.

Kumpulan tertentu di dalam PKR dapat melihat petanda buruk yang membawa bencana jika memutuskan hubungan dengan PAS secara total di samping perlu menghadapi pertandingan 3 penjuru atau lebih, sementara yang lain dalam parti yang sama seolah-olah telah membangkitkan rasa kebencian untuk bersama sama dengan PAS sepertimana keadaan semasa DAP yang ketakutan di samping benci terhadap PAS.

ADAKAH AKTA UNDANG-UNDANG SYARIAH PAS YANG MEMECAH BELAHKAN PEMBANGKANG?

Unsur anti PAS di dalam pakatan pembangkang mendakwa bahawa di sebabkan cubaan PAS untuk memperkenalkan pindaan Rang undang-undang Syariah yang menyebabkan keruntuhan pakatan pembangkang tetapi adakah ia benar ?

Menurut PAS, undang-undang tersebut hanya akan dikenakan kepada semua umat Islam dan tidak akan digunakan untuk orang bukan Islam. Walau bagaimanapun, pakar undang-undang yang lain menegaskan bahawa akan ada kes-kes yang tidak begitu jelas kedudukannya dan undang-undang yang seumpama hudud tersebut akan melanggar Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesamarataan untuk semua rakyat Malaysia seperti yang termaktub di dalam undang-undang.

Walau bagaimanapun, penggubalan undang-undang hudud PAS’ akan memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen kerana ia melibatkan pindaan Perlembagaan.

Bagaimanapun, ini semua telah menjadi hujah ahli gabungan Pakatan Rakyat (PR) untuk menjustifikasikan hubungan mereka dengan PAS. Ia tidak menghalang DAP untuk membentuk pakatan yang berjaya dengan Semangat 46 (S46) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) di bawah ‘Gagasan Rakyat’ manakala S46 telah menubuhkan satu lagi pakatan dengan PAS di bawah ‘Angkatan Perpaduan Ummah’ semasa pilihan raya umum 1990.

Walaupun pembangkang gagal untuk mengalahkan Barisan Nasiona, sikap pengundi Melayu terhadap DAP berubah secara positif kerana membentuk perikatan dengan S46, PRM dan PAS.

Malah, di atas kesedaran mewujudkan pakatan pembangkang dan harapan yang membawa cabaran pelbagai kaum terhadap Barisan Nasional telah menjadi sebab utama kemasukan aktivis hak sivil termasuk saya sendiri ke dalam DAP.

DASAR PAS 1985 MERUPAKAN TITIK PERUBAHAN.

Tanpa di ragui, kenyataan dasar PAS pada tahun 1985 mengenai kesaksamaan semua rakyat di sisi Allah merupakan titik perubahan. Pada Oktober 1985, Naib Yang Presiden PAS ketika itu, Haji Abdul Hadi Awang membuat satu kenyataan dasar yang penting apabila dia mengisytiharkan bahawa “… persoalan keistimewaan orang Melayu tidak akan berbangkit di bawah undang-undang Islam.”

Sekaligus, PAS telah memperlekehkan ideologi ketuanan UMNO yang telah mendominasi masyarakat Melayu sejak sekian lama. Ia berlawanan dengan seruan Dr Mahathir kepada ahli-ahli Umno pada masa itu untuk “mempertahankan hak-hak istimewa mereka dengan memegang teguh kepada semangat nasionalisme”,  namun ia tidak dapat melindunginya.

Isu ini segera dibangkitkan dengan maklumbalas yang sudah diramal daripada UMNO bahawa PAS adalah “ pengkhianat kepada agama, bangsa dan negara… menjual hak dan keistimewaan Melayu.”

Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir berkata, Peguam Negara perlu memutuskan jika ucapan tersebut berbentuk hasutan ataupun tidak. Malah Menteri Dalam Negeri menyatakan bahawa kementeriannya telah mengkaji ucapan tersebut.

Bukan sahaja Akta Hasutan yang digunakan, sesetengah pihak menetapkan bahawa ucapan Hadi sama sahaja dengan pengkhianatan. Hanya satu pendapat berlainan yang di utarakan bekas Perdana Menteri Tun Hussein Onn yang berkata:

“Akta hasutan seharusnya tidak di gunakan terlalu mudah hanya kerana rakyat menyuarakan pandangan yang tidak selari dengan pandangan utama… pihak berkuasa perlu meregangkan peruntukan undang-undang untuk membuat kenyataan yang tidak menurut pandangan utama sebagai hasutan atau undang-undang itu sendiri akan jatuh ke dalam kehinaan. Ada aspek politik yang melibatkan hak-hak rakyat untuk menyatakan pandangan mereka. Jika ia di lakukan terang-terangan, seseorang perlu berhati-hati dalam meluluskan Akta tersebut kerana ia melibatkan kebebasan bersuara.” (The Star, 20 September 1985)

BERKERJASAMA DENGAN PAS MENENTANG DOMINASI UMNO.

Melihat peluang untuk berbincang dengan pemimpin-pemimpin parti besar berasaskan Melayu dan untuk memerangi ideologi perkauman UMNO, bukanlah DAP tetapi pemimpin-pemimpin dalam Jawatankuasa Hak Sivil (CRC) daripada Persatuan Cina (yang saya adalah seorang ahlinya) yang memulakan dengan dialog bersama pucuk pimpinan PAS pada tahun 1985.

Semasa kempen pilihanraya umum 1986, pemimpin CRC menjelajah ke seluruh negara menyeru para pengundi cina untuk mengundi pakatan pembangkang, termasuklah PAS. Pada tahun 1990, beberapa tokoh daripada aktivis hak sivil yang diketuai oleh Lim Fong Seng, bekas Pengerusi Dong Zong menyertai DAP bagi memantapkan pakatan pembangkang.

Kami melihat PAS sebagai parti yang terbesar di luar parti yang memerintah Malaysia, Barisan Nasional, yang mampu menarik undi Melayu untuk pakatan pembangkang. Sejak penubuhannya pada tahun 1951, ia berkembang sehingga menjadi sebagai salah satu parti pembangkang yang terkuat di negara ini. Kecuali untuk tempoh pendek dari tahun 1974 hingga 1978 apabila PAS menyertai pakatan Barisan Nasional, parti itu sebaliknya telah menjadi parti pembangkang dominan di peringkat Persekutuan bagi keseluruhan sejarahnya.

Asas pemilihan PAS adalah di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dan kawasan luar bandar walaupun kebelakangan ini ia telah berjaya menarik penduduk bandar kelas sederhana juga. PAS telah mentadbir Negeri Kelantan sejak tahun 1990 dan telah juga, dahulunya membentuk kerajaan di Kedah dan Terengganu.

DASAR FLIP FLOP BERTERUSAN DAP UNTUK BERKERJASAMA DENGAN PAS.

Semasa saya bersama dengan DAP di antara tahun 1990 hingga 1995, saya perhatikan sikap mereka sentiasa tidak menentu terhadap PAS bergantung kepada cara “Sokongan Cina” mereka beralih. Perbahasan dalam kepimpinan parti tentang hubungan dengan PAS dan Gagasan Rakyat mendedahkan  kepincangan minda pemimpin DAP.

Peristiwa-peristiwa selepas pilihan raya umum 1990, terutamanya keputusan mengecewakan oleh S46 yang membawa kepada keputusan kepimpinan DAP untuk menilai semula hubungan mereka dengan Gagasan Rakyat. Oleh itu, sementara pakatan Semangat 46 yang lain bersama PAS tidak menimbulkan masalah semasa pilihanraya umum tahun 1990, apabila menjelang pilihan raya umum 1995, pemimpin-pemimpin DAP telah mula berfikir dua kali untuk mempunyai apa-apa hubungan dengan PAS sambil mendakwa bahawa ia akan melemahkan “Sokongan Cina” terhadap mereka.

Walau bagaimanapun, aktivis hak awam berpendapat bahawa Barisan Nasional masih lagi musuh utama dan mana-mana polisi atau pelarasan taktikal haruslah tidak lari daripada objektif utama iaitu untuk melemahkan Barisan Nasional melalui enam objektif asas Gagasan Rakyat, iaitu: untuk mendukung Perlembagaan Persekutuan ; menegakkan demokrasi dan hak asasi manusia; menegakkan keadilan dan kebebasan badan kehakiman; mempertahankan hak-hak sosio-ekonomi rakyat; menentang kezaliman, rasuah dan salah guna kuasa dan berusaha untuk keharmonian di antara kaum.

Persefahaman melalui objektif-objektif ini tidak mengubah sikap tidak yakin pemimpin DAP untuk berkerjasama dengan PAS. Semasa persidangan kepimpinan DAP berikutnya, seorang pemimpin DAP yang terkemuka (yang meningkat naik secara mendadak dalam kedudukan tertinggi kepimpinan parti) bangun berdiri sambil menyatakan bahawa, beliau berpandangan, “PAS adalah musuh politik utama”! Beliau di lihat seperti melepaskan beban yang berat di dadanya selepas mendengar rayuan untuk penjelasan yang bermain di minda, tentang siapa sebenarnya musuh politik utama DAP.

Akibatnya, DAP memutuskan untuk menarik diri keluar dari Gagasan Rakyat pada tahun 1995 kerana mereka tidak mahu tercemar kerana mempunyai hubungan dengan PAS, walaupun perikatan mereka tidak menimbulkan masalah pada tahun 1990.

Dorongan untuk penubuhan Barisan Alternatif adalah selari dengan gerakan Reformasi selepas tahun 1998, seterusnya diikuti oleh tangkapan dan sabitan Mantan Timbalan Perdana Menteri (UMNO) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan gerakan Reformasi telah terbentuknya kuasa baru politik dan pada 24 Oktober 1999, PAS, DAP dan Parti Keadilan membentuk satu perikatan pilihanraya dan mengeluarkan manifesto bersama.

Dalam pilihanraya umum 1999, Barisan Alternatif bekerjasama untuk memastikan hanya seorang calon yang akan bertanding di setiap kawasan pilihanraya. PAS berjaya menawan Negeri Kelantan dan Terengganu dan peningkatan kerusi Parlimen dari 7 kepada 27.

Kerusi Parlimen DAP turut bertambah dari 7 kepada 10, namun dua pemimpinnya, Lim Kit Siang dan Karpal Singh tewas di kawasan mereka. Keputusan mengecewakan DAP sekali lagi yang dipersalahkan, kerjasama DAP dengan PAS. Keadilan hanya memperolehi 5 Parlimen kerusi manakala Barisan Nasional mengekalkan majoriti mutlak sebanyak 77% dengan memenangi 148 kerusi daripada 193 kerusi.

Dengan keputusan yang mengecewakan dalam pilihanraya umum 1999, DAP sekali lagi mula mencari alasan mengkaji kerjasama mereka dengan PAS dan tidak lama selepas serangan 9/11 di Pusat Dagangan Dunia di New York oleh ektrimis Islam, DAP mengumumkan keluar dari Barisan Alternatif pada 21 September 2001.

PENGAJARAN DARIPADA PILIHANRAYA UMUM 2004.

Perpecahan itu membawa kepada persaingan di antara parti-parti pembangkang dalam pilihanraya umum 2004, mengakibatkan banyak kerusi yang dipertandingkan mempunyai pelbagai calon. Walau bagaimanapun, ia adalah satu pengajaran yang perlu dipelajari oleh pembangkang dan pilihanraya umum 2008 parti-parti pembangkang utama telah menyusun semula kedudukan mereka untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru dalam pilihanraya itu.

Pada 1 April 2008, pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan PAS mengumumkan perikatan rasmi baru Pakatan Rakyat lantaran disebabkan tsunami politik berlaku pada pilihanraya umum Malaysia ke-12. Bersama-sama mereka telah memenangi 89 daripada 222 kerusi Parlimen, kemenangan pilihan raya terbesar dalam sejarah perikatan pembangkang.

Selepas tsunami politik 2008, DAP tidak mempunyai apa-apa masalah untuk berada dalam pakatan yang sama dengan PAS dan PKR yang menerima sokongan padu dari para pengundi Malaysia dalam pilihanraya umum Malaysia ke-12. Malah, semasa PRU13 pada tahun 2013, terdapat video di mana Setiausaha Agung DAP menerima komitmen tersendiri PAS untuk negara Islam di samping berada di landasan yang sama dengan Pakatan Rakyat.

MENGAPA PAS DI TENDANG KELUAR DARI PAKATAN RAKYAT PADA TAHUN 2015.

Soalan yang perlu ditanya adalah: mengapa dan bila pula persengketaan antara DAP dan PAS bermula? Siapa sebenarnya bertanggungjawab terhadap kemusnahan dalam kepayahan mengusahakan pembinaan sistem dua parti selama ini?

NGO dan rakyat Malaysia yang prihatin perlu mendesak untuk mengetahui sebab-sebab sebenar PAS telah ditendang keluar dari pakatan pembangkang. Umumnya telah diberitahu bahawa ia adalah kerana komitmen PAS terhadap pindaan Rang undang-undang Syariah. Adakah ia benar? Adakah Nik Aziz bekas Menteri Besar Kelantan tidak meminda dan meluluskan rang undang-undang yang sama di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 90an?

Sesiapa pun yang mengikuti perkembangan tersebut tahu bahawa persengketaan di antara DAP dan PAS bermula sebelum pindaan rang undang-undang syariah di Parlimen lagi. Akibat tindakan bodoh ‘Langkah Kajang’ pada 2014 kita menyaksikan bekas Menteri Besar Selangor yang secara terbuka dihina oleh pemimpin-pemimpin DAP sebagai tidak berkemampuan dan mengamalkan rasuah, faktor yang diangkat sebagai sebab utama perlucutan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Adakah Presiden PAS telah di beri penjelasan tentang langkah politik yang tidak bertanggungjawab ini? Langkah Kajang sebenarnya menunjukkan penghinaan bukan sahaja terhadap pengundi-pengundi di Kajang tetapi juga tidak bertanggungjawab terhadap kepimpinan PAS yang menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat.

Apa yang rakyat Malaysia saksikan semasa kontroversi Menteri Besar Selangor ini adalah penghinaan yang ditunjukkan terhadap Presiden PAS bukan sahaja dalam tidak di beri penjelasan sejak dari mula tentang salah laku bekas Menteri Besar dan akibat daripada “Langkah Kajang” tetapi juga di perangkap oleh “Rottweilers” DAP.

Maka jelas terdapat rasa kurang hormat di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat yang membenarkan pemimpin-pemimpin kecil parti berlaku kurang ajar di khalayak umum terhadap Presiden sebuah parti komponen dalam Pakatan Rakyat. Tidak lama kemudian, seorang pemimpin tertinggi DAP memulakan persengketaan apabila Setiausaha Agung DAP menggelar Presiden PAS “gila” dan “pembohong”, antara sebab utama persengketaan berterusan di antara kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat tersebut. Pakatan tersebut telah secara rasmi dibubarkan oleh DAP pada 16 Jun 2015, dengan alasan ketidakmampuan mereka untuk bekerjasama dengan PAS.

Ikrar dan kesungguhan semua pemimpin DAP untuk menarik lebih ramai ahli Melayu, mengutuk Presiden PAS tidak mungkin membantu DAP untuk menawan penyokong akar umbi PAS di seluruh negara. Saya terkejut, pemimpin DAP berfikir bahawa usaha kosmetik mereka memilih beberapa kerat pemimpin Melayu untuk bersama dalam kepimpinan DAP boleh memperbaiki semua kerosakan yang dilakukan dengan terus mengutuk pemimpin utama parti berasaskan Melayu!

KELEMAHAN PAKATAN PILIHANRAYA MENUNJUKKAN TIADA KEAZAMAN MENGGANTIKAN BARISAN NASIONAL.

Pembubaran Pakatan Rakyat pada 16 Jun 2015 selepas DAP mengisytiharkan ia tidak lagi boleh bekerjasama dengan PAS adalah hari yang sedih untuk semua rakyat Malaysia yang mempunyai harapan untuk alternatif yang berdaya maju selain Barisan Nasional.

DAP sekarang sanggup dan malah mampu untuk bekerjasama dengan orang yang telah bertanggungjawab untuk penswastaan hampir semua industri di Malaysia dan memusnahkan keabsahan apa sahaja bentuk demokrasi yang kita ada selama 22 tahun beliau memegang jawatan… Semua kerana kenyataan yang disebut perlu untuk “Menyelamatkan Malaysia”.

Sudah tentu, ia adalah hari yang sedih bagi rakyat Malaysia yang begitu berhati-hati memupuk hubungan kerjasama dengan PAS sejak tahun 80an, untuk melihat pakatan alternatif ini hancur akibat terlalu kurang sensitiviti terhadap prinsip berkerjasama, hubungan sesama manusia dan kekurangan kepimpinan yang berwibawa.

Inilah perubahan politik ketara oleh DAP. Kesediaan mereka semasa bekerjasama dengan bekas pemimpin zalim dan autokratik Malaysia memerlukan analisa ekonomi politik yang lebih bertanggungjawab oleh kepimpinan DAP untuk menjustifikasikan bentuk penyamaran ini. Mereka juga berhutang dengan rakyat Malaysia analisa kelas penindasan di Malaysia hari ini dan bagaimana hubungannya dengan agenda baru mereka “Selamatkan Malaysia”.

Kepimpinan DAP kini memperjudikan agenda Melayu baru mereka dan bekas pemimpin PAS “Harapan Baru” untuk mendapatkan sokongan. Tidak syak lagi DAP terlalu leka memerintah Penang sejak menjadi Kerajaan Negeri sebenarnya sudah menjadi “Orang Kaya Yang Terlalu Leka”. Tidakkah “Impian Malaysia” mereka melibatkan pemerintahan Kerajaan Persekutuan untuk memperkenalkan pembaharuan yang sebenar untuk semua rakyat Malaysia – keadilan sosial, demokrasi dan hak asasi manusia?

Kua Kia Song ialah Penasihat SUARAM

 



Comments
Loading...