Dr. Mahathir Minta Ahli PAS Bertaubat Selepas Enggan Kerjasama Dengan PH?


(KedahNews) – TUN Dr. Mahathir Mohamad meminta pemimpin dan ahli-ahli PAS bertaubat di anggap sebagai keterlaluan dan terdesak dalam kempen menghadapi PRU14.

Gesaan Dr. Mahathir itu juga akan menyebabkan orang Melayu terus bersengketa dan memecahkan kesatuan parti politik orang Melayu yang akan menguntungkan DAP.

Semalam Pengerusi Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu mendakwa ahli-ahli PAS turut menanggung ‘dosa-dosa’ yang dibuat pemimpin Barisan Nasional (BN).

“Sesungguhnya mengundi PAS adalah sama dengan mengundi BN dan mendokong perbuatan jenayah, rasuah dan mencuri yang diamal oleh BN pimpinan Najib,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Mahathir, ahli-ahli yang membuat bai’ah kepada kepimpinan PAS dan taksub dengan parti, memecah-belah orang Melayu kerana kononnya penentang parti PAS  adalah kafir dan berlawan dengan mereka adalah jihad.

“Penyokong fanatik parti PAS ini perlu bertaubat kerana mereka mengikuti ajaran PAS yang bertentangan dengan ajaran agama Islam bahawa orang Islam itu bersaudara.

“Tiada ada siapa yang boleh kafirkan orang Islam kerana kelainan politik. Hentilah sembahyang dua imam yang masih dilakukan di Terengganu,” ujarnya.

Menurut Mahathir, bagi PAS yang penting ialah permusuhannya dengan Parti Amanah Negara dan DAP.

“Bagi PAS partinya lebih utama dari segala-galanya. Kalah pun tidak mengapa asalkan PAS bertanding,” jelasnya.

Sebelum itu, bekas Perdana Menteri itu mendakwa kemenangan PAS selama ini bukan diraih berseorangan namun ia hasil kerjasama dengan parti lain.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad berkata, tuduhan-tuduhan Tun Mahathir  terhadap PAS sememangnya didorongi rasa dendam ekoran tidak dapat menerima perjuangan Islam yang dibawa parti itu sejak dahulu lagi.

Kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, tindakan mantan perdana menteri itu yang menyerang PAS ketika ini dengan menyifatkan parti itu sebagai pemecah belah pembangkang, diibaratkan seperti ‘berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

Sebaliknya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itulah yang menjadi punca kepada perpecahan dalam parti dan masyarakat Melayu namun sibuk ‘menuding jari’ kepada PAS.

” Beliaulah bapa pemecah belah masyarakat dan Melayu. Tiga Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim terpelanting.

“UMNO  pecah dua kepada team A dan team B, beliau hanya menang majoriti 43 undi dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Akhirnya mahkamah telah mengharamkan Umno pada tahun 1987.  Lahirnya Parti Semangat 46 dan PKR semuanya zaman beliau, katanya dalam satu kenyataan.

 



Comments
Loading...