Pembangkang Sukar Terima Kejayaan Lawatan Najib
(Bernama) – Kejayaan lawatan kerja Datuk Seri Najib Tun Razak ke Washington yang menyaksikan berlangsung pertemuan mesra perdana menteri dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, sukar untuk diterima pembangkang yang terus membuat tohmahan terhadap kerajaan, demikian menurut penganalisis politik.
Menurut mereka walaupun pertemuan itu meninggalkan kesan yang positif untuk negara namun pembangkang dilihat cuba mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat berhubung lawatan perdana menteri itu.
Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan berkata strategi seumpama itu sering dilakukan pihak pembangkang khususnya ketika lawatan perdana menteri ke luar negara.
“Mereka menghentam seolah-olah kerajaan menjual negara, ini strategi yang sama mereka lakukan. Contohnya, apabila perdana menteri mengumumkan pelaburan di China, mereka mengatakan negara ini digadai kepada China,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Hasil pertemuan dengan Presiden Trump, Najib mengumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan mereka di Amerika Syarikat dan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat.
Najib berkata KWSP dijangka melabur antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion di negara tersebut.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin pembangkang termasuk Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli serta Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menggunakan platform sosial media bagi memburukkan perjumpaan Najib dan Trump itu termasuk kononnya kerajaan menggadai kepentingan negara.
Azmi berkata pengumuman perdana menteri berhubung rancangan peningkatan pelaburan oleh KWSP dan Khazanah di Amerika Syarikat sebenarnya mampu memberi hasil lumayan kepada negara serta rakyat melalui pulangan dividen yang tinggi.
“Antara strategi Khazanah dan KWSP adalah melabur di luar negara dan pelaburan di Amerika Syarikat merupakan satu peluang baik kerana tidak semua syarikat asing boleh melabur secara terbuka di negara itu, ” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata kehadiran perdana menteri di Amerika Syarikat telah menepis pelbagai tanggapan negatif sebelum ini khususnya mengenai isu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan 1MDB.
“Dengan menjejakkan kaki di Amerika Syarikat, beliau (Najib) telah menepis tanggapan bahawa beliau tidak berani ke sana,” katanya yang menyifatkan kunjungan Najib memberi kelebihan dari sudut ‘legitimasi moral’ kepada perdana menteri.