⁠⁠⁠BENARKAH DAP SOKONG ISLAMISASI?


DARI SUDUT LAIN

Heboh pula mengenai kenyataan terbaru Pemimpin DAP, Lim Kit Siang bahawa mereka menyokong kenyataan bekas Menteri Luar Thailand, Surin Pitsuwan bahawa proses Islamisasi di Malaysia sudah berubah berbanding tahun 80-an dahulu. Lim Kit Siang menyatakan bahawa mereka menyokong Islamisasi tetapi Islamisasi yang disokong itu bukanlah yang sekarang, sebaliknya versi 80-an dahulu.

Baca:

http://www.sinarharian.com.my/mobile/politik/dap-sokong-islam-seperti-bersama-pas-dahulu-1.728149

https://blog.limkitsiang.com/2017/09/04/dap-supports-islamisation-based-on-constitution-which-promotes-a-nation-building-process-based-on-tolerance-and-mutual-respect-in-a-plural-society-and-not-one-which-engenders-bigotry-hatred-and-extre/

Menurut Surin, sehingga 1980-an, Islamisasi secara umumnya berjalan dengan baik di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia. Tetapi selepas itu ia berubah menjadi seolah-olah politik perkauman dan permusuhan pula. Islam menjadi kurang toleransi dengan penganut agama lain dan penghayatannya menjadi terhad.

Baca:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/09/02/bekas-ketua-asean-pendidikan-terhad-bentuk-pemikiran-cetek-umat-islam/

Walaupun kenyataan asal Surin perlu diperhalusi lebih teliti dalam konteks Islamisasi di Malaysia, namun respon tergopoh-gapah oleh Lim Kit Siang dilihat cuba untuk mengambil kesempatan. Beliau seolah-olah cuba untuk memanipulasikan kenyataan Surin itu untuk ‘menyerang hendap’ PAS. Sedangkan Surin bercakap dalam konteks yang umum, bukan sekadar Malaysia tetapi pandangan beliau terhadap rantau Asia Tenggara ini.

Kit Siang menyokong pendapat Surin dengan menyatakan bahawa Islam yang dibawa oleh Al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor adalah Islam yang baik. Sebaliknya Islam yang dibawa oleh Tuan Guru Abdul Hadi amat berbeza dengan mereka. Jadi DAP menyokong Islamisasi yang diperjuangkan PAS versi ulama-ulama terdahulu, bukan seperti perjuangan PAS kini. Kit Siang juga berkata bahawa Kit Siang mungkin tidak menyedari, beberapa bulan lepas Hadi telah mengadakan perbincangan dengan Surin di Bangkok untuk mencari penyelesaian isu Rohingya.

Jika dibandingkan antara kenyataan Surin dan Kit Siang, berlaku percanggahan yang amat ketara dari beberapa aspek. Pertamanya adalah seperti yang dinyatakan di atas, bahawa kedua mereka bercakap dalam konteks yang sangat berbeza di mana Surin menyebutkan gambaran rantau Asia Tenggara yang umum manakala Kit Siang lebih menjurus kepada parti PAS sahaja.

Kedua, Surin turut menyebutkan tentang Islamisasi yang baik adalah dalam tempoh masa bermula beberapa dekad selepas merdeka sehingga menjelang awal 80-an, manakala Islamisasi yang tidak sihat pula bermula awal dekad 80-an hingga sekarang. Tetapi Kit Siang memaksudkan pandangan Surin dengan PAS di zaman bermula kepimpinan Yusof Rawa hinggalah Dato Seri Abdul Hadi kini. Sedangkan Yusof Rawa hanya memegang jawatan sebagai Presiden PAS (Dahulu dikenali sebagai Yang Di Pertua) pada tahun 1983, manakala Fadzil Noor pula mengambil alih jawatan Presiden sejak 1989. Tuan Guru Nik Abdul Aziz pula menyandang jawatan Mursyidul Am bermula pada tahun 1991.

Dato Seri Abdul Hadi mengepalai pentadbiran PAS sejak kematian Ustaz Fadzil Noor iaitu pada tahun 2002. Walaupun begitu, beliau sejak akhir 70-an lagi sudah dikenali sebagai pemimpin PAS. Beliau bekerja sebagai satu pasukan di bawah kesemua nama-nama tokoh yang disebutkan di atas. Sepanjang tempoh itu, tidak ada sebarang percanggahan antara beliau dan mereka yang direkodkan.

Perkara ini menunjukkan bahawa cubaan Kit Siang untuk mengaitkan kenyataan Surin dengan PAS adalah sangat tersasar. Ia juga menunjukkan bahawa perbezaan antara Islamisasi versi Abdul Hadi sekarang dan pemimpin terdahulu sebenarnya hanya direka-reka. Dari dahulu lagi PAS memperjuang agenda Islam dalam bidang politik dan pemerintahan. Perkara ini sehingga kini masih tidak berubah.

Ketiga, kenyataan Kit Siang bahawa DAP menyokong Islamisasi versi dahulu juga perlu dipertikaikan. Jika diimbas kembali sejarah lampau, DAP antara yang paling kuat menentang Islamisasi di Malaysia samada ia dibawa oleh kerajaan ataupun pihak lain. DAP antara yang paling kuat mempertikaikan dasar Islamisasi yang dibawa oleh Dr Mahathir awal 80-an dahulu.

Jika dilihat menerusi kenyataan wakil rakyat DAP, Zairil Khir Johari, jelas menunjukkan bahawa penentangan DAP terhadap Islamisasi tidak hanya bermula sejak zaman Abdul Hadi menjadi Presiden PAS tetapi sejak Dr Mahathir mula memperkenalkan dasar Islamisasi dalam kerajaan. Menurut Zairil yang mengeluarkan kenyataan pada tahun 2014, Islamisasi yang berlaku di Malaysia sejak 20 hingga 30 tahun dahulu menakutkan ibubapa bukan Islam untuk menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan.

https://m.malaysiakini.com/news/281275#m3roAJsYSlGQtIU0.97

Lim Kit Siang di dalam blognya mengkritik keras Islamisasi yang dibawa oleh Anwar Ibrahim sewaktu menyertai Umno dan menjawat jawatan Menteri Pendidikan.

https://blog.limkitsiang.com/2011/08/08/islamization-of-education/

Begitu juga dengan buku yang dikeluarkan oleh pemimpin melayu DAP, Dato Zaid Ibrahim, bertajuk Assalamualaikum. Beliau turut mempertikaikan Islamisasi yang berlaku di Malaysia yang tidak hanya merujuk kepada PAS, sebaliknya dasar yang dipraktikkan oleh kerajaan. Beliau mahu supaya proses Islamisasi di Malaysia tidak berlaku sebaliknya lebih bersetuju dengan dasar negara Indonesia yang mengamalkan pendekatan pluralisme Pancasila.

https://www.youtube.com/watch?v=MKMbOsBnoh4

Jika dilihat dalam konteks Islamisasi yang dibawa PAS juga, DAP antara yang kuat menentang program Islamisasi Kerajaan Negeri Kelantan di bawah Tuan Guru Nik Aziz. DAP juga tidak bersetuju dengan agenda negara Islam yang diperjuangkan PAS sehingga menyebabkan mereka keluar daripada Barisan Alternatif pada tahun 2001. Pada waktu itu, Presiden PAS adalah Ustaz Fadzil Noor manakala Mursyidul Am pula adalah Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

https://www.malaysiakini.com/news/4786

Keempat, Kit Siang mendakwa DAP menyokong Islamisasi berasaskan peruntukan Perlembagaan Malaysia. Tetapi dalam waktu yang sama, mereka menentang keras agenda meminda Akta 355 yang dibuat selari dengan peruntukan perlembagaan. Mereka juga menentang keputusan DUN Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 yang tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan perlembagaan

http://www.ismaweb.net/2016/11/ruu-355-tidak-bercanggah-dengan-perlembagaan-zainul-rijal/

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/keputusan-dun-kelantan-tidak-bercanggah-perlembagaan-1.503022

kesimpulannya, Kit Siang cuba memanipulasi kenyataan Surin dengan mengaitkan Islamisasi terhadap perubahan kepimpinan dalam PAS, dan mendakwa mereka juga menyokong Islamisasi dalam versi yang berbeza. Tindakan ini dilihat sebagai tidak amanah dan berniat buruk.

 



Comments
Loading...