Adakah penentang PAS kafir, Dr M tanya Tuan Ibrahim
(FMT) – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencabar PAS untuk menyatakan sama ada mereka yang menentang parti Islam itu boleh digolongkan sebagai kafir, isu yang menjadi pertikaian antara Umno dan PAS sejak sekian lama.
“Tak usah lari dari soal pengkafiran ini. Jelaskan dengan tegas benar atau tidak orang yang tidak menyertai PAS kafir,” kata Dr Mahathir dalam penulisan blognya hari ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut mengemukakan 8 soalan kepada Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang disifatkannya “satu-satunya pemimpin PAS yang rasional”.
“Apakah Tuan Ibrahim percaya bahawa sesiapa yang tidak menyertai PAS tidak Islam. Apakah orang Melayu kafir sebelum adanya PAS?” soal Dr Mahathir.
Beliau mahu Tuan Ibrahim menyatakan sama ada menerima “Amanat Hadi” yang menganggap sesiapa yang terkorban ketika melawan pemerintahan Umno sebagai mati syahid.
“Jika pemerintahan yang didirikan oleh Umno dahulu kafir, apakah pegawai-pegawainya, termasuk mufti dan orang-orang yang dipimpin dan dinasihat oleh mereka kafir,” katanya.
Amanat Hadi adalah sedutan daripada ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Terengganu pada 7 April 1981, yang kemudiannya dicetak dan disebarkan ke pelosok negara oleh PAS ketika itu.
Antara lain, ia membidas Umno kerana mengekalkan perlembagaan penjajah, dan menganggap perjuangan PAS sebagai jihad yang menjanjikan syahid sekiranya mati dalam perjuangan itu. Majlis Fatwa Kebangsaan bagaimanapun pada 1984 menyifatkan ucapan itu mendorong kafir-mengkafir dan bertentangan dengan Islam.
Minggu lalu, Tuan Ibrahim dalam respons balas kepada Dr Mahathir yang menuduh PAS cuba memenangkan Barisan Nasional (BN) kerana enggan menyertai PH, berkata bekas perdana menteri itu perlu “cermin diri” atas segala yang dilakukannya terhadap demokrasi Malaysia sepanjang memegang jawatan perdana menteri selama 23 tahun.
“Kini baru 2 tahun Tun menjadi pembangkang, Tun baru terasa peritnya menjadi pembangkang,” kata Tuan Ibrahim dalam surat yang menyenaraikan pelbagai tindakan bekas presiden Umno itu mengekang kebebasan pembangkang.
Dr Mahathir berkata beliau tidak kisah dipanggil penyangak, penyamun atau diktator.
“Saya tidak harap musuh politik saya memanggil saya dengan nama baik. Jika mereka membuat demikian tentulah sukar bagi mereka menentang saya.
Tetapi yang saya sedih dan marah ialah apabila PAS mengkafirkan saya dan semua orang Melayu yang tidak sokong PAS. Perbuatan ini dilarang oleh agama Islam. Dan mereka yang dikafir marah dan kecewa didakwa mereka tidak Islam,” katanya.
Pengerusi PPBM itu turut mengulangi dakwaannya yang PAS memecah belahkan umat Islam di Malaysia yang menurutnya bersatu padu satu ketika dulu.
“Hanya apabila PAS ditubuh dan mengkafirkan orang yang tidak menyertai parti politik PAS, barulah orang Melayu Islam berpecah sehingga tidak terima nikah ibu bapa, bersembahyang dua imam, berkuburan berasingan dan bermusuh ketat antara orang PAS dengan orang bukan PAS.
“Bolehkah Tuan Ibrahim nafi perpecahan ini berlaku, dan ianya berlaku kerana PAS menidakkan Islamnya orang Umno dan juga orang lain yang tidak menyertai PAS,” soal bekas presiden Umno itu.