Saya tak tahu BNM jalankan urus niaga forex, kata Dr M


(FMT) – Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat kerugian dalam urus niaga mata wang asing (forex) pada 1990-an yang Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan perdagangan itu tanpa pengetahuannya pada akhir 1980-an.

Beliau berkata, gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussein membuat keputusan itu bagi mengimbangi mata wang ringgit tidak stabil, mengukuhkan rizab luar dan ekonomi negara.

“Walaupun saya cuma dapat tahu tentang penglibatan aktif urus niaga mata wang asing oleh BNM selepas itu, saya menerima alasan kenapa ia dilakukan BNM di bawah pentadbiran Jaffar,” katanya kepada panel 6 anggota RCI yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Dr Mahathir berkata, beliau tiada pengetahuan peribadi berhubung cara atau butiran mengenai keuntungan atau kerugian urus niaga forex yang dijalankan BNM ketika menjadi perdana menteri.

Saksi ke-24 RCI itu berkata, beliau tidak tahu atau mempunyai sebab untuk percaya aktiviti BNM melanggar sebarang undang-undang perbankan.

“Walau apapun, semasa perkhidmatan saya sebagai perdana menteri, saya tidak ada pengetahuan ataupun sebab untuk mengesyaki BNM menjalankan apa-apa urusan yang bertentangan kuasa diberikan kepada BNM di bawah undang-undang.

“Sekiranya saya mempunyai apa-apa sebab untuk berfikiran sebaliknya, saya akan mengambil langkah perlu sebagai perdana menteri untuk mengenal pasti perkara itu,” katanya dalam keterangan saksi.

Beliau berkata, ketika itu (akhir 1980-an), beliau mendapat tahu perkembangan kenaikan yen secara paksa oleh beberapa negara besar yang dikenali sebagai “The Group of Seven” menerusi peristiwa “Plaza Accord”.

“Malaysia telah mengalami kesan negatif kerana pinjaman negara dalam yen menjadi hampir 3 kali ganda lebih mahal dalam nilai mata wang Malaysia akibat daripada ‘Plaza Accord’ itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau pernah dijemput Jaffar untuk melawat bilik urus niaga BNM di Kuala Lumpur pada akhir 1980-an.

Seingatnya, beliau berada di sana kira-kira 30 minit dan Jaffar memaklumkan aktiviti BNM disasarkan untuk mengukuhkan rizab negara dan menstabilkan ringgit.

“Dalam fahaman dan kepercayaan saya juga, BNM diperlukan untuk menampilkan laporan kewangan tahunannya yang perlu diaudit oleh ketua audit negara, dan kemudiannya diserahkan kepada menteri kewangan untuk dibentangkan di Parlimen.

“Pada kebiasaannya, menteri kewangan akan membentangkan laporan kewangan tahunan BNM yang telah diaudit dalam mesyuarat Kabinet, sebelum ianya dibentangkan di Parlimen.”

Beliau berkata, seingatnya, laporan 1992 dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada awal 1993.

“Apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet sama dengan apa yang dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Pada sidang terakhir 9 September lalu, Sidek mendakwa menteri kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengelirukan Kabinet berhubung kerugian sebenar pada 1992 ialah RM12 bilion.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan laporan diaudit itu hanya mendedahkan kerugian berjumlah RM5.7 bilion.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak campur tangan dalam urus niaga BNM kerana ia badan korporat.

“Setakat pengetahuan saya, semasa saya menjadi perdana menteri, BNM menjalankan operasi dan tadbir urusnya secara bebas sebagai satu badan korporat di bawah Central Bank of Malaysia Ordinance 1958,” katanya.

Beliau berkata, BNM mempunyai struktur pentadbirannya sendiri yang diketuai gabenor yang bertanggungjawab melaporkan urusan bank pusat itu kepada lembaga pengarahnya dari semasa ke semasa.

“Lembaga pengarah BNM pula mempunyai tanggungjawab ke atas segala isu polisi dan pentadbiran am berkaitan kuasa dan urusan BNM.

“Saya sebagai perdana menteri tidak pernah mencampuri urusan dan pentadbiran BNM sama sekali, dan saya juga percaya saya tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mencampuri polisi, urusan dan pentadbiran BNM.”

Bagaimanapun, beliau berkata, ini tidak bermakna gabenor BNM tidak pernah bercakap secara am berhubung hal bank pusat itu dalam mana-mana perjumpaan.

“Tetapi, mana-mana perbualan itu cuma perbualan biasa tanpa butiran terperinci berhubung mana-mana aktiviti khusus BNM.”

 



Comments
Loading...