BUKAN PAS BERSAMA UMNO TAPI PAS BERSAMA ISLAM
DARI SUDUT LAIN
Persepsi yang sedang dicipta oleh media massa hari ini sangat hebat. Musuh UMNO dan PAS sering meletakkan kedua mereka dalam bakul yang sama. Seolah-olah kedua parti ini berada pada pasukan yang sama. Walaupun PAS sentiasa menafikan, namun persepsi tersebut terus dimainkan tanpa henti.
http://www.sinarharian.com.my/politik/undi-pas-sama-seperti-undi-bn-tun-m-1.729304
Mungkin ada benarnya jika kita mengatakan pendekatan PAS kini agak lunak terhadap UMNO berbanding beberapa tahun dahulu. Namun jika dikaji secara realiti, sebenarnya sikap PAS itu bukan atas nama parti PAS dan parti UMNO tetapi kerana berteraskan prinsip perjuangan PAS iaitu Islam.
Jika dahulu kita melihat UMNO banyak melakukan perkara yang merugikan Islam di Malaysia. Contohnya seperti isu penyisihan institusi pondok, pendidikan agama yang tidak ditekankan, juga budaya hedonisme melampau dalam masyarakat, menghina hukum-hukum syariat, industri judi, industri arak dan sebagainya di samping masalah ideologi perjuangan mereka seperti mendukung sekularisme, liberalisme dan nasionalisme. Maka PAS berseteru dengan Umno dan mengecam parti tersebut atas pendirian dan sikap mereka yang bersalahan dengan kehendak agama Islam.
Tetapi jika dilihat dengan perkembangan terkini, UMNO sedikit sebanyak mulai berubah. Melalui jentera kerajaan, mereka memperkasakan institusi pendidikan Islam walaupun belum di tahap yang memuaskan. Dakwah dan penyebaran agama Islam diperluaskan hingga ke media-media arus perdana. Semakin banyak program-program keagamaan dianjurkan. Kerajaan lebih sensitif dengan tuntutan umat Islam berbanding dahulu. Dan semua yang disebutkan di atas kini semakin banyak perubahan ke arah yang lebih maaruf.
Maka tidak hairanlah pendekatan PAS terhadap UMNO mula berubah. Daripada menentang kini terbuka untuk bekerjasama dan menasihat. Atas dasar parti tersebut menerajui kerajaan, PAS bersedia menghulurkan bantuan dalam memperkasakan lagi kedudukan Islam di negara ini. Contoh paling dekat yang boleh kita lihat adalah dalam isu RUU355.
Sama sahaja seperti hubungan PAS dengan DAP, PKR dan beberapa pertubuhan lain. Jika dahulu sebelum DAP memiliki kuasa, mereka tidak begitu menunjukkan penentangan terhadap Islam. Malah mereka bersetuju jika PAS ingin meneruskan agenda perjuangan Islamnya. Atas dasar ini, PAS menerima untuk bertahaluf dengan mereka.
http://m.utusan.com.my/berita/politik/jangan-berganjak-biar-apa-pun-terjadi-1.37366
Tetapi setelah DAP dan PKR berkuasa di Penang dan Selangor, mereka mula berubah. Mereka mula mengkritik agenda perjuangan PAS yang mahu memartabatkan Islam sehingga menjadi punca kepada berkuburnya Pakatan Rakyat. Mereka juga menjadi platform kepada berbagai gerakan yang mengancam kedudukan Islam seperti Liberalisme Politik, Kristianiasi, Feminisme dan Sosialisne. Maka tidak hairanlah kenapa kini PAS mengisytiharkan DAP sebagai musuh dan tidak akan bekerjasama lagi bukan sahaja dengan DAP, malah semua parti yang bersekutu dengan DAP.
Kita boleh melihat sikap konsisten PAS yang meletakkan Islam sebagai teras perjuangan apabila turut mengambil berat tentang perkembangan Islam di Asia Barat. Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi menjadi tokoh antarabangsa yang cuba menyatukan antara umat Islam sunni dan syiah, atas nama Islam dan lantang menentang Israel dan kuasa Barat. Perbuatan beliau ditentang pelbagai pihak dari aliran sunni, kerana menganggap syiah adalah musuh Islam.
https://www.youtube.com/watch?v=M6kydjefeSM
Di sini kita boleh melihat bahawa yang sebenarnya bukan PAS bersama UMNO, tetapi PAS tetap istiqamah bersama Islam. Sesiapa sahaja yang berkongsi agenda perjuangan Islam dengan PAS dialu-alukan untuk bekerjaama dengan parti tersebut. Oleh kerana itu, kita melihat parti IKATAN dan BERJASA kini bersama PAS membentuk Gagasan Sejahtera (GAGASAN). Selain dari itu, terdapat berbagai NGO Islam lain yang turut bersama GAGASAN.
PAS telah menawarkan gabungan kepada semua pihak atas nama Islam termasuk parti-parti komponen Pakatan Harapan. Namun mereka enggan malah menentang pula agenda pemerkasaan Islam yang dibawa oleh PAS dengan berbagai alasan. Situasi ini kita boleh lihat dengan jelas dalam isu RUU355.