Dr Mahathir: Saya kini sedar DAP bukan cauvinis sama sekali (WITH VIDEO)


(FMT) – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui meskipun beliau pernah berada di belakang tindakan Umno dalam melabel DAP sebagai “parti cauvinis Cina” ketika menjadi presiden parti selama 22 tahun, beliau menyedari parti pembangkang itu sebenarnya bersifat “berbilang kaum”.

“Saya yang memulakan pelabelan DAP sebagai parti cauvinis Cina. Tetapi apabila saya mendekati mereka, saya mendapati mereka bukan parti hanya untuk Cina seperti MCA,” kata bekas perdana menteri.

“DAP adalah berbilang kaum. Mereka mempunyai orang Melayu dan juga India,” kata beliau.




Dr Mahathir menambah, beberapa ahli Melayu DAP telah mewakili parti itu dalam pilihan raya dan ada yang menang.

“Imej yang saya bina mengenai DAP tidak benar,” kata beliau pada pelancaran PH Johor di Dataran Taman Dahlia di Tampoi, Johor, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang ahli Parlimen Gelang Patah.

Mahathir, 92, berkata beliau dan pemimpin PPBM lain memberi pertimbangan yang serius untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain selepas membentuk PPBM pada September tahun lepas.

“Sebelum ini, kami berdepan dengan Kit Siang dan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim). Kini kami duduk di paras yang sama dengan mereka,” kata beliau.

Anwar, yang merupakan ketua umum PH dan PKR kini menjalani hukuman penjara 5 tahun di penjara atas kesalahan meliwat. Beliau dijangka akan dibebaskan tahun depan.

Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri dan presiden Umno dari tahun 1981 hingga 2003 memberitahu adalah wajar bagi lawan politik untuk tidak mengatakan perkara yang baik tentang 1 sama lain.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata sejak mengetahui DAP lebih baik selepas pembentukan PPBM, beliau telah melihat bahawa parti itu mempunyai keahlian berbilang kaum.

“Dalam pertemuan dengan mereka, mereka bercakap bahasa Melayu, bahasa kebangsaan. Sekiranya mereka bercakap dalam bahasa Mandarin, kaum India dan Melayu tidak akan faham. Lagu mereka juga dalam bahasa Melayu,” katanya.

“Jadi DAP tidak begitu buruk sehingga kita tidak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Dr Mahathir juga menolak dakwaan kononnya DAP akan melantik salah seorang pemimpin mereka sebagai perdana menteri jika PH memenangi pilihan raya, dan berkata tuntutan itu sengaja disemarakkan oleh Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Dr Mahathir berkata PPBM, PKR dan Amanah, sebagai komponen lain dalam PH, semuanya diketuai oleh orang Melayu dengan hanya DAP yang dipimpin oleh orang Cina, khususnya Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan Kit Siang.

Beliau berkata ketiga-tiga parti mempunyai bakat yang cukup untuk membolehkan orang Melayu memimpin sebuah kerajaan yang dibentuk oleh PH.

“Jadi tidak ada cara mereka (DAP) dapat memaksa kita untuk membuat salah seorang daripada mereka menjadi perdana menteri. Mereka boleh jadi menteri,” katanya.

“Kit Siang bukan anti-Melayu. Beliau berjuang untuk kaumnya seperti yang saya lakukan untuk kaum saya,” tambah beliau.

 



Comments
Loading...