UNDI DAP BERERTI UNDI MUNGKAR
DARI SUDUT LAIN
Sebelum ini telah ditulis tentang sikap DAP yang anti-Islam, anti-Melayu dan anti-Raja-raja. Tetapi dengan perkembangan terbaru berhubung isu pembatalan pesta arak di ibukota Kuala Lumpur oleh DBKL, DAP telah menyerlahkan sikap terbaru pula. Pembatalan tersebut menyebabkan Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua, mengkritik keputusan tersebut. Bahkan beliau menawarkan untuk diteruskan pesta tersebut di kawasan beliau pula, Petaling Jaya, Selangor.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/09/265399/pesta-arak-mca-setuju-batal
https://www.youtube.com/watch?v=mmOdATaRFpM
Sikap pemimpin DAP itu sangat menghairankan. Entah mengapa beliau begitu marah apabila program yang tidak bermoral itu dibatalkan. Jika dinilai dari sudut budaya kaum ataupun ajaran mana-mana agama, tidak ada satu pun kaum ataupun agama yang boleh bersetuju dengan penganjuran pesta minuman keras. Justeru keputusan DBKL tidak langsung mengganggu sensitiviti masyarakat di negara ini sehingga perlu dibela sedemikian rupa oleh DAP.
http://fimadani.com/larangan-minuman-keras-dalam-berbagai-agama/
http://www.tv14.my/2017/09/23/hindu-sangam-malaysia-setuju-haramkan-pesta-arak/
Nyata tindakan DAP lebih terdorong oleh nafsu semata-mata. Mereka langsung tidak memikirkan tentang keburukan minuman keras yang bukan hanya haram di sisi agama Islam, bahkan mana-mana manusia yang waras pun tahu arak membawa keburukan. Tidak ada ibubapa dari mana-mana kaum dan agama yang akan menyuapkan arak ke mulut anak-anak mereka.
Berhubung dengan cadangan beliau untuk diadakan di Selangor, tidakkah beliau sedar tentang siapa yang sebenarnya berkuasa di Selangor? Meminum arak merupakan salah satu jenayah di sisi agama Islam, dan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa DYYM Sultan. Tindakan beliau menawarkan Selangor sebagai lokasi alternatif penganjuran pesta tersebut seolah-olah menganggap negeri tersebut adalah milik beliau, sekaligus mencabar kekuasaan DYYM Sultan sebagai ketua kerajaan dan ketua agama di Selangor.
Apa yang pelik, kenapa DAP tidak pula menawarkan negeri yang diterajui oleh mereka iaitu Pulau Pinang sebagai lokasi alternatif? Kenapa Selangor pula yang menjadi sasaran? Mengikut dakwaan penganjur, tujuan diadakan pesta tersebut adalah untuk menjadi tarikan pelancong. Namun Selangor bukanlah destinasi pelancongan antarabangsa. Jika dibandingkan, Pulau Pinang lebih dikenali sebagai pusat pelancongan. Lebih daripada itu persoalan yang paling utama, sejak bila arak di Malaysia menjadi bahan tarikan pelancongan? Kebanyakan arak adalah diimport dari luar negara termasuk dari Eropah, negara asal kebanyakan pelancong luar yang ada di sini. Tidak ada sebab mereka perlu ke Malaysia untuk menikmati arak yang lebih murah dan mudah didapati di tempat sendiri.
Sebagai tambahan, DAP hanya sebahagian dari kerajaan di Selangor. Ketua badan eksekutif adalah dari PKR, iaitu Azmin Ali sebagai MB. DAP seolah sengaja mahu mencabar sensitiviti umat Islam di Selangor, selain cuba memerangkap Azmin Ali dalam isu ini.
Apa yang menarik, PAS terus membantah cadangan pemimpin DAP itu walaupun mereka juga adalah sebahagian daripada Kerajaan Negeri Selangor seperti DAP. Jumaat dua minggu yang lalu Dewan Pemuda PAS telah melakukan bantahan besar-besaran di Masjid Negeri di Shah Alam.
https://www.bnbbc.my/ngo-pas-bantah-pesta-arak-pindah-ke-selangor/
Sikap pemimpin Islam dalam Pakatan Harapan (PH) juga perlu dipertikaikan. Sejak dari awal isu ini meletus, mereka diam seribu bahasa. Hanyalah setelah DBKL mengharamkan, baru mereka bersuara untuk membantah. Itupun tidak menegur Tony Pua atau mana-mana pemimpin DAP dan NGO pro mereka yang membantah keputusan DBKL. Rakyat sangat menantikan kenyataan-kenyataan tegas dari penasihat-penasihat agama terutama dari parti PAN yang menggelarkan diri mereka sebagai parti yang turut memperjuangkan Islam.
Sikap DAP yang terang-terangan dan bersungguh memperjuang dan mempertahankan program mungkar ini menjadi suatu kebimbangan kepada umat Islam di Malaysia. Memberikan mereka peluang untuk berkuasa memberi maksud memudahkan lagi berbagai penganjuran program-program mungkar dan tidak bermoral. Memberi undi kepada DAP adalah bermaksud memberi undi kepada mungkar dan kemurkaan Allah SWT, selain memberi undi kepada keruntuhan moral dan keharmonian sosial dan budaya ketimuran.