Redha, takdir dan tahfiz


Jangan kita terima begitu sahaja. Ini akan membawa kepada mentaliti palsu kerana ia bercanggah dengan Al-Quran.

Farouk A Peru, Free Malaysia Today

Pemikir kelahiran Algeria, Malik Bennabi (1905–1973), pernah mengemukakan sebuah teori mengenai kemunduran dunia Islam. Menurutnya, disebabkan dunia Islam sudah 7 atau 8 kurun muflis fikrah, ia menjadi “colonisable” (sesuai untuk dijajah).

Memang benar, pada zaman Bennabi, kebanyakan negara Islam dijajah. Mengapa begitu?

Pada saya, ia berpunca daripada mempunyai minda atau pemikiran yang salah dalam beragama. Mentaliti yang salah akan membawa kepada iktikad yang salah dan ini akan membawa kepada amalan yang salah.

Turun naik sesuatu tamadun itu bermula dengan mentaliti. Al-Quran berfirman yang nasib kita tidak berubah selagi kita tidak mengubah apa yang ada di dalam jiwa kita (8:53 dan 13:11).

Minggu lepas, seorang ibu yang hilang 3 anaknya dalam kebakaran sekolah tahfiz di Kuala Lumpur bulan lalu, menyatakan hasratnya untuk tidak mendakwa sekolah Darul Quran Iftifaqiyah.

Ibu tunggal berumur 37 tahun itu berkata yang dia “redha” dengan takdir ilahi. Ramai menyatakan kekaguman mereka dengan keputusannya tetapi mereka gagal menangkap poin sebenarnya.

Jangan salah anggap pula. Bukan saya mengatakan yang kita patut menolak sesuatu yang berlaku ke atas diri kita. Semua yang berlaku itu adalah dengan izin Tuhan.

Izin tidaklah sama dengan takdir. Ia berlaku dengan hasil kerja kita sendiri tetapi dengan hukum Tuhan. Contohnya, apabila gril tingkap tidak boleh dibuka, maka budak-budak tidak dapat keluar dan akhirnya rentung. Kita memang patut akur dengan apa yang diizinkan Tuhan. Jika kita melawan izin Tuhan, maka kita mengalami tekanan perasaan. Itu pun hukum Tuhan juga!

Tetapi keakuran kita tidak bermakna yang kita patut melupakan sahaja cubaan ini. Bagaimana pula dengan hikmah di sebalik kejadian ini?

Belum pun 2 minggu selepas tragedi sekolah tahfiz, terjadi pula kebakaran di sekolah tahfiz Yayasan Sofa Astana di Negeri Sembilan. Kali ini, tiada kematian tetapi kita perlu bertanya, mengapakan kebakaran di sekolah tahfiz kerap berlaku.? Lebih 200 kali dalam hanya 2 tahun!

Sepatutnya, ibu terbabit mengetuai gerakan mendakwa pengurusan sekolah tahfiz itu. Baru-baru ini, dilaporkan yang ibu bapa mangsa belum menerima wang derma lebih sejuta ringgit yang dikumpul daripada orang ramai. Mereka dijanjikan 30% dan yang selebihnya akan disalurkan kepada sekolah itu.

Hairannya, sekolah yang gagal menjamin keselamatan akan mendapat ganti rugi dan ibu bapa yang kehilangan anak mungkin mendapat 30% sahaja! Inilah yang “diredhakan” ibu itu. Saya berharap dia mengubah fikirannya dan mendakwa pengurusan sekolah sampai ke lubang cacing.

Satu lagi mentaliti yang amat memudaratkan umat Islam ialah mempercayai laporan kononnya mengalami mimpi dan penampakan tertentu.

Seorang ibu saudara kepada mangsa mendakwa yang anak saudaranya datang dalam mimpinya dan “menyuruhnya” memaafkan sekolah tahfiz itu. Kalau dia sudah maafkan, maka anak saudaranya itu boleh mati dengan tenang.

Wah! Begitu senang! Mimpi mengatasi proses undang-undang! Tetapi inilah mentaliti sesetengah orang Islam yang begitu senang mempercayai cerita berunsur mitos dan tahyul.

Saya mahu bertanya ibu saudara berkenaan, kalau anak saudaranya “mati syahid”, seperti yang didakwa pengetua sekolah, mengapa pula belum senang mautnya? Bukankah dia sepatutnya sudah mengambil jalan pintas ke syurga?

Begitu gagal logik ibu saudara ini kerana ingin melepaskan pihak yang amat bersalah. Yang rugi adalah murid sekolah tahfiz yang masih hidup.

Kita perlu menyoal kesemua doktrin yang diajar kepada kita. Kita mestilah berfikir sendiri dan memberi soalan kritis sehingga apa yang diberitahu kepada kita dibuktikan benar. Dengan ini, kita dapat membezakan maklumat yang boleh dipakai dan yang tidak.

Umpamanya, jika kita diberitahu, anak kita mati syahid dan boleh membawa kita ke syurga, kita wajar bertanya, bagaimanakah ini boleh berlaku jika Al-Quran menyatakan yang tiada syafaat pada hari pembalasan (2:48, 2:123 dan 2:254).

Jangan kita terima begitu sahaja. Ini akan membawa kepada mentaliti palsu kerana ia bercanggah dengan Al-Quran.

Begitulah cara mentaliti kita boleh mempengaruhi situasi masing-masing dan menentukan sama ada tamadun kita maju atau mundur.

Sebenarnya, Al-Quran sendiri memberitahu kita supaya tidak mengikut buta tuli sesiapa pun, sama ada nenek moyang kita (2:170), orang berstatus tinggi (33:67) ataupun orang yang tidak menggunakan akal (67:10).

Kesemua golongan ini adalah penghuni neraka, neraka dunia dan akhirat!. Sepatutnya, kita menggunakan akal sendiri dan hanya bertawakal kepada Allah.



Comments
Loading...