Yang mereka tahu adalah ‘Najib dan Kerajaan selalu betul’


Untuk maklumat rakyat, diantara 20 IPTA yang terdapat di seluruh negara, hanya seorang sahaja wakil atau pegawai berbangsa India yang berjawatan tinggi di bahagian hal ehwal pelajar.

B Nantha Kumar, Berita Daily

Pada 8 Oktober, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan bahawa dasar meritokrasi tidak sesuai di Malaysia, dan mendakwa ia tidak membantu pelajar dari masyarakat India memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menurut Najib, jika kerajaan tidak membuat sesuatu, penyertaan di kalangan pelajar India dalam institusi pengajian tinggi berkemungkinan akan turun kepada 3% hingga 4% daripada 7% yang ada sekarang.

Beliau yang menggelarkan diri sendiri sebagai ‘bapa pembangunan masyarakat India’, turut memperuntukkan 700 lagi tempat kepada pelajar India di IPTA sebagai hadiah perayaan Deepavali.

Sebaik sahaja pengumuman dari Najib maka beriuh rendah pemimpin-pemimpin India dari BN menyokong cadangan Najib.

Tidak kurang hebat juga apabila beberapa pegawai tertinggi di kerajaan yang berbangsa India turut membuat kenyataan di media seolah-olah cadangan Najib merupakan yang terbaik untuk pelajar masyarakat India.

Manakala, pembangkang pula mengecam pengumuman Najib sebagai satu lagi tindakan memalukan Dr Mahathir Mohamad, selepas bekas Perdana Menteri itu menggantikan sistem kuota kepada meritokrasi pada tahun 2002.

Maka, berbangkitlah beberapa soalan yang kemungkinan besar tidak akan dijawab oleh pemimpin BN dan pegawai kerajaan yang berbangsa India.

Kenapakah pemimpin dan pegawai-pegawai tertinggi ini berdiam dan tidak menyatakan sebarang pendirian terhadap sistem meritokrasi yang dikenalkan 15 tahun lalu, sehingga pengumuman Perdana Menteri pada Ahad yang lepas?

Apakah selama 15 tahun mereka ini tinggal di hutan sehingga tidak mempunyai pengetahuan berkenaan sistem pendidikan negara?

Mampukah mereka memberi jaminan bahawa sistem kuota yang dijanjikan oleh Najib akan menyelesaikan masalah kemasukan pelajar India ke IPTA yang sering ditolak tanpa sebab yang munasabah?

Kepada yang tidak mengetahui berkenaan sistem kuato yang kini diagung-agungkan oleh pemimpin-pemimpin BN dan pegawai-pegawai tertinggi di kerajaan, ini bukanlah satu perkara yang baru.

Pada tahun 2013, sebuah NGO, Gagasan Pelajar India 1Malaysia pernah menyerah satu memorandum kepada Najib menyeru kerajaan mewujudkan sistem kuota bagi meningkat peratus kemasukan pelajar India di IPTA.

Jadi, secara teknikal Perdana Menteri hanya melaksanakan satu cadangan yang diutarakan kepada beliau empat tahun yang lalu.

Tetapi, apakah perlaksanaan sistem kuota ini akan menyelesaikan masalah kemasukan pelajar India ke IPTA yang kian menurun di bawah Menteri Pendidikan Tinggi, Idris Jusoh?

Penulis berpendapat kemungkinan besar ia tidak akan menyelesaikan masalah ini.

Kenapa? Mungkin ramai, termasuk pemimpin-pemimpin BN dan pegawai-pegawai tertinggi mengetahui perkara ini namun sangat takut menyuarakan mahupun kepada Najib atau di khalayak ramai.

Tidak kira sistem meritokrasi ataupun kuota, masalah kemasukan pelajar India tidak akan dapat diselesaikan dengan sikap rasis segelintir pegawai berjawatan tinggi khusunya Bahagian Hal Ehwal Pelajar di IPTA seluruh negara.

Mengambil kira pandangan Gagasan Pelajar India 1Malaysia, penulis berpendapat bahawa pelantikan pegawai berbilang kaum di Bahagian Hal Ehwal Pelajar di setiap IPTA sangat penting bagi menangani masalah kemasukan pelajar bukan Melayu.

Bahagian Hal Ehwal Pelajar memang mempunyai peranan yang sangat penting dalam kemasukan pelajar di IPTA.

Sikap rasis oleh beberapa pegawai di bahagian ini yang mengakibatkan pelajar India hilang ‘kerusi’, walaupun layak belajar di IPTA.

Ini yang menyebabkan Najib terpaksa campur tangan dan memperuntukkan 700 tempat tambahan sebagai hadiah Deepavali, sedang pendidikan itu adalah hak setiap rakyat Malaysia, bukan hadiah Deepavali seperti dinyatakan.

Untuk maklumat rakyat, diantara 20 IPTA yang terdapat di seluruh negara, hanya seorang sahaja wakil atau pegawai berbangsa India yang berjawatan tinggi di bahagian hal ehwal pelajar.

Malangnya, tiada pemimpin di kalangan India berani menyuarakan perkara ini.

Yang mereka tahu adalah ‘Najib dan Kerajaan selalu betul’.



Comments
Loading...