Syed Saddiq Mengaku Silap Tuduh Bekas Pemimpin PPBM Terima Rasuah BN


(Suara TV) – Ketua Armada PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui dirinya tersilap dengan menuduh ahli partinya menerima ‘dedak’ (rasuah) daripada Barisan Nasional (BN) kerana berterusan mengkritik kepimpinan tertinggi parti.

Memetik laporan Mole.my, Syed Saddiq mengakui tuduhannya sebelum ini disebabkan salah faham dan menerima maklumat tidak tepat daripada sumbernya.

Beliau sebelum ini mendakwa ditawarkan rasuah bernilai RM5 juta ringgit daripada individu bernama ‘H’ yang bertugas sebagai pegawai kanan di Pejabat Perdana Menteri.

Tambahnya, beliau juga ditawarkan geran untuk menggerakkan bengkel debat di seluruh Malaysia sekiranya bersetuju untuk meninggalkan PPBM dan mula menyerang Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dakwa Syed Saddiq lagi, bekas pemimpin parti lain yang menyerang Dr Mahathir dan Muhyiddin sebelum ini seperti bekas pengasas PPBM, Kamarulzaman Habibur Rahman; bekas Naib Presiden Parti, Datuk Hamidah Osman, dan beberapa exco Armada PPBM, juga menerima tawaran hampir sama oleh individu ‘H’ berkenaan.

Kini, setelah mengadakan pertemuan bersama salah seorang bekas ahli PPBM yang juga adik kepada Hamidah, Hamizura Osman, Syed Saddiq mengakui dirinya tersilap dengan menuduh kesemua bekas ahli partinya itu juga menerima ‘dedak’.

“Beliau sudah minta maaf kepada kami tetapi saya nak dia tahu bahawa apa yang dia lakukan tidak meyakinkan,” kata Hamizura.

Bagi penganalisis politik Zakhir Mohamed, ‘drama’ dicetuskan oleh Ketua Armada PPBM akhirnya memerangkap dirinya sendiri.

“Syed Saddiq cuba untuk mengundurkan kata-katanya dengan cubaan yang amat menyedihkan bagi memulihkan penghinaan terhadap Parti Pribumi dengan mengatakan ianya ‘salah faham’.

“Selama ini beliau telah menyerang semua pihak yang cuba mencemarkan imej partinya, yang dilakukan beliau demi agenda peribadi Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ianya langsung tidak selari dengan drama, bagi mengalihkan perhatian, kegagalan, pembohongan didalam parti Dr Mahathir yang penuh dengan nepotisme, pilih kasih dan hipokrasi,” ujar Zakhir.

 



Comments
Loading...