WINS TAWARAN MENARIK DARIPADA PAS


DARI SUDUT LAIN

Pada perhimpunan Fastaqim 2.0 yang diadakan pada 29 dan 30 September lalu di Kuala Nerus, PAS telah melancarkan satu produk baru yang dinamakan sebagai Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS). Sehari selepas itu, PAS menerbitkan pula montaj penerangan WINS melalui laman video Youtube:

https://www.youtube.com/watch?v=m-FaXQkiLOw

Jika diikuti secara dekat, boleh dikatakan ini merupakan produk ketiga PAS selepas BPMS dan Dokumen Hijau. Ia juga boleh dikira sebagai tawaran PAS yang terkini selain Dokumen Hijau yang telah diluncurkan sebelum dan juga manifesto yang sering dikeluarkan setiap kali menjelang pilihanraya.

Dokumen Hijau dilihat lebih bersifat kontemporari dan tertumpu kepada beberapa masalah. Ia cuma menekankan berkenaan cadangan penyelesaian terhadap tiga perkara sahaja iaitu cukai GST, kejatuhan matawang dan isu pemilikan rumah. Manifesto pula lebih kepada perkara-perkara yang bakal dijalankan dalam tempoh sepenggal selepas pilihanraya, jika mereka memenanginya.

WINS tampak berbeza daripada dua tawaran PAS tersebut. Pertama kerana ianya lebih bersifat jangkamasa panjang kerana matlamat yang ingin dicapai oleh WINS adalah pada tahun 2051. Kedua ia bersifat lebih menyeluruh dalam menawarkan solusi bukan hanya tertumpu kepada beberapa masalah atau beberapa sektor seperti ekonomi, tetapi turut melibatkan sektor lain seperti pertanian, keselamatan, pendidikan dan seumpamanya. Ketiga ia lebih holistik kerana bukan sahaja menawarkan solusi kepada masalah yang sedang berlaku, tetapi turut menawarkan idea untuk membawa negara lebih maju ke hadapan.

WINS boleh disamakan dengan pendekatan kerajaan memperkenalkan beberapa gagasan sepanjang sejarah. Pertama mereka memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru di zaman Perdana Menteri Tun Abdul Razak dari tahun 1971 hingga 1990. Kedua Wawasan 2020 di zaman Tun Mahathir dari tahun 1991 hingga tahun 2020. Kini, Dato Seri Najib Razak menggagaskan pula Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang bakal bermula pada tahun 2021 hingga ke tahun 2050.

https://mytn50.com/

Menerusi keterangan montaj WINS, PAS membahagikan jangkamasa pencapaian WINS kepada tiga fasa. Fasa pertama bermula daripada tahun 2018 sehingga 2030 bakal menekankan pendekatan transformasi ke arah menyelesaikan masalah yang membelenggu negara. Fasa kedua pula bermula tahun 2031 hingga 2040 bagi membangunkan Malaysia menuju negara maju. Seterusnya fasa ketiga akan bermula pada tahun 2041 sehingga 2051, yang melonjakkan negara sebagai pemimpin dunia.

Walaupun WINS mensasarkan kemuncak pencapaian mereka lebih jauh daripada TN50, tetapi mereka bermula lebih awal daripadanya iaitu pada tahun hadapan. Kemungkinan secara lebih tepat mereka mensasarkannya bermula selepas pilihanraya, kerana PAS kini dilihat sangat optimis untuk mencapai matlamat king-maker dalam PRU14 nanti. Secara tidak langsung WINS tampak lebih realistik dari sudut pembahagian fasa ini.

Menerusi montaj WINS, juga kenyataan media parti tersebut, kita boleh melihat mereka menggunapakai falsafah ‘membina sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam’ dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. Sebenarnya ia adalah matlamat PAS yang termaktub di dalam perlembagaan mereka. Bermakna PAS masih berpegang kepada prinsip perjuangan mereka dan tidak berubah sejak dahulu, iaitu perjuangan Islam. WINS nampaknya suatu terjemahan dan huraian dalam melaksanakan matlamat penubuhan PAS itu sendiri.

PAS meletakkan enam kunci capaian yang menanda apakah WINS mencapai kejayaan ataupun tidak. Dalam dunia organisasi dan korporat, perkara ini lebih dikenali sebagai Key Performance Indeks (KPI). 6 perkara tersebut termasuklah nilai taqwa, kebajikan, ketelusan, kelestarian sumber, nilai insan dan keselamatan. Untuk mencapainya, mereka menetapkan sembilan teras utama yang perlu dibangunkan secara fokus iaitu di bidang pentadbiran, pendidikan, ekonomi, kesihatan, keselamatan, pertanian, sosio budaya, alam sekitar dan prasarana.

http://www.harakahdaily.net/index.php/rss-hd/73-pimpinan/fikrah/3215-wawasan-induk-negara-sejahtera-wins-halatuju-negara-bersama-pas

Walaubagaimanapun, masih banyak penditilan yang perlu dibuat bagi memastikan ianya realistik dan praktikal. Tetapi kredit wajar diberikan kepada PAS kerana telah mencapah minda untuk sama-sama rakyat Malaysia berfikir untuk memajukan lagi negara. WINS secara tidak langsung melontar banyak persoalan-persoalan yang perlu difikirkan oleh rakyat kerana boleh dikatakan mereka mengeluarkan idea baru dalam pentadbiran sebuah negara. Mereka menekankan aspek-aspek yang tidak popular seperti pembinaan nilai insan, konsep taqwa, kebajikan, alam sekitar dan juga pertanian. Mungkin ia satu kaedah yang unik dan tersendiri dalam mencapai wawasan jika dibandingkan dengan pendekatan wawasan-wawasan lain yang lebih bersifat materialistik dan industrial.

Bagi pihak PAS, tentu sekali WINS yang mereka tawarkan tampak memudahkan jalan untuk mereka jika diberi peluang mentadbir negara. Mereka bekerja keras membangunkan model pemerintahan negara yang bakal diterapkan. Mereka betul-betul serius dan bersedia. Nyata mereka tidak bercakap kosong ketika mendakwa diri sebagai the government in waiting (kerajaan menanti).

 



Comments
Loading...