Mahathir Otak Senget – Nik Abduh
(Bicara News) – “Di Kelantan tak ramai Bugis. Tapi saya ada ramai juga kawan Bugis sebab kawan-kawan saya memang seluruh Malaysia adanya. Kalau kawan Jawa tu memang takyah kiralah…Tenggelam terus kawan Kutty.”
Demikian sindiran Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz keatas Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menghina kaum Bugis semasa berucap pada perhimpunan anjuran Pakatan Harapan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Kata Nik Mohamad Abduh, beliau sejak kecil menyedari bahawa Bugis memang layak digelar sebagai Pahlawan Bugis berdasarkan sifat kepahlawanan mereka mengikut sejarah.
Malah, kata beliau, penjajah zaman dahulu sangat sakit hati dengan Bugis kerana kepahlawanan mereka menentang penjajah sehingga melabelkan Bugis sebagai lanun.
“Sampai sekarang orang baik-baik akan memanggil Bugis sebagai Pahlawan Bugis. Adapun orang yang otak senget atau senget otak, mereka akan memanggil Bugis sebagai lanun Bugis.
“Dalam politik Malaysia, dalam PAS, lanun tak ada. Otak senget pun tak ada. Yang ada hanyalah orang baik-baik dan mempunyai sifat kepahlawanan Bugis walaupun mereka bukan daripada orang berketurunan Bugis.
“Dalam parti lain, ada tak otak senget, saya seganlah nak sebut. Tapi yang gelar Bugis sebagai lanun memang ada..,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Mahathir pada himpunan pembangkang di Padang Timur, Petaling Jaya pada Sabtu lalu menyebut bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin berasal dari lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke tempat asalnya.
Pakatan Harapan dibarisi DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).