BAIK BURUK PELABURAN CHINA KE MALAYSIA
DARI SUDUT LAIN
Dari segi sejarah, Malaysia atau sebelumnya dikenali sebagai Tanah Melayu sudah lama memiliki hubungan perdagangan dengan China. Dalam catatan buku Dinasti Han, sejak abad pertama lagi telah wujud jalan maritim antara China dan India, dengan Semenanjung Tanah Melayu dan Selat Melaka menjadi laluan dan persinggahan. Banyak artifak yang berasal dari China ditemui di sekitar Tanah Melayu yang dijangkakan berusia kira-kira 2000 tahun. Ianya menjadi bukti jelas hubungan China dengan Malaysia sekitar abad pertama.
https://ms.wikipedia.org/wiki/Hubungan_China%E2%80%93Malaysia
Hubungan baik ini berterusan ke hari ini. Pada masa kini, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak beberapa tahun lepas . Pada tahun 2010, perdagangan China membentuk 12.55% dari keseluruhan perdagangan antarabangsa Malaysia. 2016, jumlah tersebut terus meningkat mencecah 16.23%. dalam tempoh kurang 10 tahun, kenaikan kadar perdagangan Malaysia-China meningkat hampir 100% daripada 130 bilion ringgit pada tahun 2009 kepada 240 bilion pada tahun 2016.
Dari segi pelaburan langsung asing (FDI) pula, Malaysia telah menjadikan China sebagai sumber pelaburan asing utama negara. Pada November 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menandatangani 14 buah perjanjian bernilai 144 bilion ringgit. Pada Mei tahun ini pula, Datuk Seri Najib sekali lagi melakukan perkara sama di Beijing. Beliau menandatangani 9 lagi projek bernilai 31.3 bilion ringgit. Berdasarkan kedua-dua perjanjian yang ditandatangani itu, setakat ini, jumlah pelaburan China di Malaysia adalah RM175 bilion dan ia merupakan satu pencapaian bersejarah kepada Malaysia dan Najib khususnya. Dianggarkan pelaburan China ke Malaysia bakal mencecah 400 bilion keseluruhannya.
http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/pelaburan-china-di-malaysia-bersifat-jangka-panjang-1.450380
https://moshed.com/pelaburan-china-ke-malaysia-tidak-semestinya-menguntungkan-citi-1/
Antara projek besar yang melibatkan pelaburan China adalah Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Timur Semenanjung dengan Pantai Barat, Tun Razak Exchange dan Forest City di Johor, serta Pelabuhan di Bagan Datoh, Kuantan dan beberapa tempat yang lain.
Rancangan perdagangan dan pelaburan antara China dan Malaysia dilihat sangat bijak memandangkan pertumbuhan ekonomi China sendiri begitu pesat di peringkat global. Ramai pakar ekonomi menjangkakan China bakal menjadi negara nombor satu ekonomi paling besar di dunia dalam beberapa tahun lagi. China memandang Asia Tenggara sebagai rakan strategik yang penting terutama dalam penjanaan ekonomi sehinggakan kesemua negara-negara ASEAN terlibat dengan pelaburan dan perdagangan berskala mega daripada China.
http://www.businessinsider.com/world-bank-fast-growing-global-economies-2015-6/?IR=T/#-rwanda-2
Projek terbesar yang sedang dijayakan oleh China sekarang adalah laluan perdagangan One Belt One Road (OBOR) atau kini dikenali sebagai The Belt and Road Initiative (BRI), atau lebih masyhur dikenali sebagai Laluan Sutera. Projek ini melibatkan 48 buah negara dan akan menghubungkan negara dari Timur Jauh hingga ke Afrika Utara dan Eropah, merentasi negara China. Projek ini dianggarkan mencecah nilai 1 trilion USD.
Untuk menjayakan projek ini, China menggunakan kekuatan modal dan teknologi yang mereka miliki untuk membuat pelaburan di negara-negara yang terlibat. Projek ECRL adalah antara laluan OBOR di yang bakal menghubungkan Malaysia dengan laluan dari negara-negara lain. Maka tidak hairanlah ECRL menjadi projek terbesar China di Malaysia. Negara tersebut dikatakan bakal membelanjakan sehingga 55 bilion bagi keseluruhan projek ECRL nanti.
Walaubagaimanapun, kerisauan tetap timbul di kalangan rakyat Malaysia apabila berhadapan dengan projek berskala besar ini. Kerisauan paling utama adalah kerana ia akan menggandakan lagi hutang Malaysia yang sudah pun berada di paras bahaya. Ketika ini, Malaysia telah mengumpulkan hutang hampir 700 bilion.
Sebuah NGO dikenali sebagai Institut Rakyat kelolaan YB Nurul Izzah Anwar telah mengadakan dialog berhubung isu pelaburan China ke Malaysia. Berbagai kebimbangan dan kritikan diberikan terhadap sikap Malaysia terhadap pelaburan China ini. Antaranya menggambarkan perjanjian ini sebagai cek kosong yang tidak jelas tentang perjanjian antara syarikat daripada Malaysia dan China ini. Selain daripada itu, mereka juga bimbang berkenaan pemindahan teknologi kepada Malaysia serta kesannya terhadap hubungan Malaysia dengan negara jiran terutama Singapura. Ia juga akan meletakkan negara kepada kebergantungan terhadap China.
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/12214/
Walaubagaimanapun, kesemua kerisauan ini tidak boleh mewajarkan Malaysia menolak pelaburan langsung daripada China. Bagi mencapai status negara maju, pelaburan luar amat diperlukan oleh sesebuah negara membangun. Lebih-lebih lagi negara seperti China yang sudah memiliki hubungan diplomatik berabad lamanya dengan Malaysia, dan juga berdasarkan pertumbuhan drastik ekonomi China di peringkat global.
Boleh dikatakan menjadikan China sebagai rakan strategik jauh lebih baik daripada negara Barat dan Eropah. Selain berkongsi nilai dan budaya yang lebih kurang sama kerana berkongsi sejarah dan benua yang sama, China dilihat lebih menumpukan kepada agenda ekonomi berbanding negara Barat yang turut menjalankan agenda politik, pembudayaan dan sosial kepada rakan perdagangan mereka.
Namun kewaspadaan terhadap China perlu juga diletakkan. Malaysia dan China mesti mematuhi beberapa syarat agar projek-projek pelaburan jangka masa panjang ini tidak merugikan mana-mana pihak.
Pertama, kedua pihak mestilah amanah dalam perjanjian. Kos yang diletakkan mestilah bertepatan dengan nilai sebenar projek. Spesifikasi yang dibuat juga mestilah menepati standard yang tinggi sesuai dengan keperluan semasa. Juga mestilah bersesuaian dengan keperluan negara agar tidak berlaku pembaziran, projek yang tidak mendesak, ataupun apa yang dikatakan sebagai projek gajah putih.
Kedua, Malaysia mestilah cekap dalam menguruskan projek yang dijalankan. Pastikan setiap projek benar-benar memberi keuntungan kepada negara dan rakyat. Lantik pengurusan projek kepada mereka yang benar-benar berpengalaman dan pakar dalam bidang terbabit. Jangan ada unsur nepotisme, kronisme atau lantikan berasaskan politik sehingga membelakangkan unsur profesionalisme.
Amat baik sekiranya dilantik juga ahli akademik dalam bidang yang berkaitan dengan projek sebagai penasihat. Negara sebenarnya memiliki ribuan pakar akademik dalam bidang industri dan perkhidmatan. Selain dari meningkatkan lagi tahap intelektual rakyat, ia juga dapat membantu sektor pendidikan menjana pendapatan tambahan.
Kedua-dua syarat ini penting bagi memastikan bayaran balik pinjaman tidak terganggu. Tersilap langkah boleh menjerumuskan Malaysia ke dalam jerat hutang yang akan memberi lesen kepada China mencampuri urusan dalaman Malaysia atas nama pemiutang, yang tentu sekali akan memberi kesan kepada kedaulatan negara.
Ketiga, pastikan pemindahan teknologi dan pengetahuan menjadi syarat di dalam setiap perjanjian. Minta China atau mana jua pihak yang ingin mendapatkan projek daripada Malaysia supaya mereka melatih tenaga kerja Malaysia supaya menjadi pakar dalam perlaksanaan projek tersebut, selain memberikan segala data kajian dan inovasi berkaitan projek yang akan dijalankan.
Ini merupakan rahsia bagaimana China mampu mencipta keretapi laju walaupun negara tersebut tidak begitu terkenal dalam bidang penemuan dan inovasi. Mereka sebelum ini telah memeterai perjanjian dengan Siemens bagi membina laluan keretapi yang menghubungkan wilayah-wilayah di negara terbabit. Perjanjian tersebut mensyaratkan agar Siemens memindahkan teknologi keretapinya kepada China. Kini, China pula yang mengeksport kepakaran mereka ke negara-negara lain dalam projek OBOR.
Sekiranya Malaysia mengambil langkah yang sama, Malaysia juga bakal terkedepan pada masa hadapan. Membolehkan Malaysia menjadi pemimpin bagi negara-negara lain terutama negara OIC atas kapasiti negara Islam. Perkara ini bersesuaian dengan cita-cita PAS yang diperkenalkan melalui dokumen WINS 2051 yang dilancarkan beberapa minggu yang lalu.
Kesimpulannya, pelaburan China di Malaysia seharusnya dilihat dari sudut yang positif. Malaysia tidak boleh bersikap terlalu protectionist sehingga menjejaskan peluang negara untuk mencapai status negara maju. Segala unsur negatif perlu ditangani dengan bijak agar segala ancaman yang difikirkan boleh bertukar sebagai peluang yang perlu direbut.