BOLEHKAH MAHATHIR DIPERCAYAI? KEROSAKAN HARI INI KESAN DASAR-DASAR ZAMAN MAHATHIR


DARI SUDUT LAIN

Pakatan Harapan (PH) telah mengadakan himpunan anti-kleptokrasi di ibukota baru-baru ini. Ia sebagai demonstrasi membantah penyelewengan dan salah guna kuasa kerajaan yang ada hari ini. Salah seorang tokoh yang giat mempromosikan himpunan ini adalah bekas Perdana Menteri Malaysia yang paling lama dalam sejarah, Dr Mahathir Mohamad.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/10/16/himpunan-anti-kleptokrasi-di-padang-timur-gagal-kerana-ketiadaan-pas/

Malangnya ramai tidak sedar bahawa kleptokrasi dan salahguna kuasa sangat berleluasa di zaman pemerintahannya. Disebabkan zaman tersebut sudah terlalu lama berlalu, ramai yang sudah lupa atau mungkin juga mudah lupa. Beliau memulakan pemerintahan sejak tahun 1981 sehinggalah meletakkan jawatan pada tahun 2003. Ramai anak-anak muda yang ada hari ini masih belum lahir ketika beliau berkuasa.

Ramai tidak pernah dengar isu-isu skandal berkaitan Perwaja Steel, Maika Holding, PKFZ, BMF, kerugian Bank Negara dalam isu Forex, bail out syarikat perkapalan anaknya dan berbagai lagi. Skandal-skandal itu tidak lagi termasuk isu-isu yang melibatkan menteri-menteri dan kakitangan-kakitangan kerajaan di bawah pemerintahan beliau.

http://ikanlepu.blogspot.my/2012/04/salahlaku-di-zaman-dr-mahathir.html

Malangnya, beliau hari ini dianggap oleh penyokong PH sebagai hero yang telah membangunkan negara hanya dengan memerhatikan sepintas lalu pembangunan-pembangunan fizikal yang dibuat olehnya. Namun, jika diamati secara lebih teliti, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa Mahathirlah penyebab kepada krisis ekonomi yang dihadapi oleh negara pada hari ini.

Sebenarnya, banyak polisi-polisi negara yang melibatkan ekonomi berubah di zaman beliau sehingga membawa kesan buruk pada hari ini. Antaranya, beliau secara gopoh telah memperkenalkan dasar yang menumpu kepada perindustrian berat sebagai sektor utama pemangkin ekonomi negara, dan secara langsung mula mengabaikan sektor pertanian. Walaupun program-program perindustrian negara telahpun bermula sejak 1960-an lagi, tetapi pada di zaman Mahathir beliau bertindak dengan begitu agresif sehingga mengabaikan sektor-sektor penting lain. Di zaman beliaulah Buku Hijau Malaysia yang diperkenalkan di zaman Tun Abdul Razak telah dikesampingkan. Buku Hijau Malaysia adalah satu dokumen menyeluruh pelan pertanian negara.

http://sanusijunid.blogspot.my/2014/10/dari-negara-pertanian-ke-negara-industri.html

Akibat daripada itu, negara hari ini berdepan dengan masalah kedaulatan makanan (foodsovereignty). Pengabaian terhadap pertanian menyebabkan negara terpaksa mengimport produk pertanian hampir separuh daripada keperluan rakyat Malaysia. Makanan ruji penduduk Malaysia, beras turut diimport bagi menampung tidak cukupan bekalan makanan tersebut sebanyak 28 peratus. Rakyat yang tinggal di bumi yang subur dan menghijau ini rupa-rupanya bergantung kepada sumber makanan dari negara luar untuk meneruskan kehidupan!

Secara tidak langsung, perkara inilah yang menjadi punca kepada peningkatan harga barangan keperluan rakyat terutama makanan pada hari ini. Negara tidak mampu menentukan harga makanan dan keperluan harian kerana harganya bergantung kepada turun naik nilai ringgit disebabkan barangan tersebut diimpot.

Perindustrian sepatutnya menjadi penyokong kepada sektor pertanian. Malangya negara tidak memanfaatkan sumber bahan mentah dari hasil bumi negara untuk mengeluarkan produk siap, tetapi sanggup mengimport sumber bahan mentah dari luar untuk dihasilkan oleh sektor industri di negara ini. Akibatnya, kos pengeluaran jadi bertambah sedangkan hasil bumi tidak dimanfaatkan.

Di zaman Mahathir juga diperkenalkan Dasar Penswastaan negara. Kononnya dengan menswastakan projek-projek pembangunan negara kepada pihak bukan kerajaan, mampu menggandakan kecekapan pembangunan dan beban kerajaan berkurangan.

https://www.malaysianreview.com/125681/dasar-penswastaan-mahathir-punca-masalah-sekarang-khalid-ibrahim/

Malangnya Dasar Penswastaan inilah yang membuka peluang besar untuk gejala kleptokrasi, kronisme dan nepotisme mula membarah. Pihak-pihak berkuasa terutama politkus dari parti pemerintah disogok oleh pihak swasta untuk memberikan projek-projek kepada mereka. Projek-projek yang diberikan kepada pihak swasta tidak berasaskan kelayakan tetapi siapa yang boleh menjanjikan keuntungan kepada individu dan parti pemerintah.

Akhirnya, kos projek pembangunan bertambah untuk menampung modal menyogok. Hasil pembangunan juga jadi tidak berkualiti kerana dibina dengan bahan murah, dan juga kontraktor yang tidak berkelayakan.

Selain itu, Mahathir juga memperkenalkan Dasar Liberalisasi Pendidikan. Dasar ini kononnya mahu melibatkan semua pihak dalam bidang pendidikan dan tidak terhad kepada kerajaan sahaja. Tetapi di sebaliknya, ia hanya medium untuk mengaut keuntungan dengan memerah harta rakyat atas nama pendidikan.

Dengan dasar ini, banyak universiti-universiti swasta dibuka. Malah ia lebih banyak daripada universiti kerajaan. Universiti swasta menawarkan pengajian dengan yuran yang berlipat kali ganda lebih tinggi daripada universiti kerajaan. Kemudian diberhentikan biasiswa dan diperkenalkan pula PTPTN, sebuah tabung pinjaman pendidikan tinggi untuk pelajar tidak berkemampuan membayar yuran pengajian. PTPTN menggunakan modal dari khazanah negara termasuk wang simpanan rakyat di KWSP, diberikan kepada pelajar, yang akhirnya disalurkan ke universiti-universiti (swasta) sehingga menjana pendapatan sangat lumayan.  Manakala yang menanggung hutang nanti adalah pelajar sendiri.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/isu-ptptn-anwar-sudah-lupa-dakwa-mahathir-1.40147

Tiga dasar yang disebutkan ini telah menyebabkan kesan jangka masa panjang kepada negara. Pada zaman itu nampak seperti ekonomi pesat membangun, tetapi ia ibarat membeli kemewahan secara hutang, dan akhirnya segala kos pembangunan tersebut ditanggung oleh rakyat pada hari ini. Ia ibarat orang yang memperoleh untung segera dengan menjual tanah. Tentu sekali bayaran yang diperoleh lumayan waktu itu, tetapi padahnya beliau kehilangan aset yang begitu berharga untuk masa depan anak cucunya.

Dasar perindustrian yang tidak terkawal dahulu telah menyebabkan negara hari ini berhadapan masalah kedaulatan makanan. Dasar penswastaan dahulu telah menyebabkan negara hari ini terpalit dengan barah rasuan, kleptokrasi, kronisme dan nepotisme, selain kerosakan fizikal dan kos penyelenggaraan hasil pembinaan dahulu. Dasar liberalisasi pendidikan dahulu pula menyebabkan rakyat hari ini menanggung beban yang besar dalam bidang pendidikan demi mengayakan pihak swasta. Beban itu dilepaskan pula kepada graduan-graduan yang mana sejak dasar itu diperkenalkan masih belum mampu melangsaikan hutang PTPTN sehingga ke hari ini.

Mahathir perlu bertanggungjawab atas semua ini. Beliau tidak boleh berlepas tangan begitu sahaja, dengan meletakkan kesalahan kepada pihak pemerintah hari ini sahaja. Kerana pemerintah yang ada hari ini, mewarisi dasar dan amalan kerajaan daripada tangan beliau.

Untuk memperbaiki masalah ekonomi hari ini, sebaiknya kerajaan menilai kembali dasar-dasar yang diperkenalkan sejak zaman Mahathir dahulu. Mungkin banyak yang perlu dihentikan atau dirombak. Kaji juga dasar-dasar sebelum Mahathir berkuasa. Mungkin ada yang perlu kembali dilaksanakan.

 



Comments
Loading...