AG masih tunggu maaf Raja Petra


(Malaysiakini) – Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata beliau masih menunggu permohonan maaf daripada Raja Petra Kamarudin ekoran tulisan bloger itu yang didakwa memfitnahnnya.

Pada masa sama peguam negara mengulangi kata-katanya sebelum ini bahawa beliau boleh menyaman Raja Petra atas kenyataan yang diterbitkan melalui portal dikendalikan bloger terbabit.

“Kamu boleh petik kata-kata saya lagi.

“Kalau tak ada permohonan maaf saya pasti akan saman dia sampai kiamat,” katanya ketika ditemui media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini Raja Petra menyiarkan satu rencana mengenai kononnya ada khabar angin melibatkan Apandi dan kerajaan. Apandi menafikan semua tuduhan berkenaan.

Rencana itu disiarkan pada awal bulan ini.

“Mana boleh dia jejaskan nama saya? Saya tak kenal pun dia. Ini membabitkan reputasi saya,” kata Apandi lagi.




Guna laporan media

Menurut Apandi saman itu tetap akan dibuat jika Raja Petra tidam memohon maaf.

“Tak kisah, saya boleh saman dia di sini atau sana,” katanya lagi, merujuk kepada kedudukan Raja Petra yang kini menetap United Kingdom.

Ditanya berapa lama beliau akan menunggu sebelum memulakan proses saman itu, Apandi berkata: “Tak tahu, tapi saya sudah menghantar mesej dan isyarat kepadanya untuk meminta maaf.”

Sambil menegaskan masa tidak menyebelahi Raja Petra, Apandi menjelaskan kemudian, beliau tidak berhubung secara langsung dengan bloger terbabit.

Sebaliknya kata Apandi beliau bergantung kepada laporan-laporan media untuk menyampaikan pesanannya.

Sebelum dilantik sebagai peguam negara Apandi pernah berkhidmat dalam bidang perundangan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya.

 

 



Comments
Loading...