PAS terkejut kenyataan Rewcastle-Brown: Nik Amar


(BH) – PAS mengakui terkejut dengan kenyataan Editor Sarawak Report (SR), Clare Rewcastle-Brown, yang menamakan Datuk S Ambiga sebagai sumber mengatakan pemimpin parti itu menerima wang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata perkara itu menjadi persoalan di antara mereka kerana selama ini bekas presiden Majlis Peguam itu tidak pernah bercakap mengenai isu dana RM90 juta itu.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak boleh mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih berjalan di mahkamah dan peguam juga sudah menasihatkan supaya tidak memberi komen berhubung perkara itu.

“Apabila Clare Rewcastle-Brown menamakan Ambiga sebagai sumber, ia menjadi satu kejutan kepada PAS. Namun kita serahkan kepada mahkamah dan tidak mahu mengganggu perjalanan kes itu,” katanya selepas mesyuarat EXCO, di sini, hari ini.

Rewcastle-Brown menerusi pembelaannya dalam saman fitnah yang dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dilapor menamakan Ambiga sebagai sumber maklumat laporan portal kendaliannya berkaitan dakwaan pemimpin tertinggi PAS menerima wang daripada Perdana Menteri.

Portal The Malaysian Insight melaporkan, berdasarkan kenyataan hujah balas dan pembelaan yang diterimanya, Rewcastle-Brown mengatakan beliau memperoleh maklumat itu selepas bercakap dengan Ambiga yang juga bekas Pengerusi Bersih itu, mengenai Najib, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PAS pada Julai 2016.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Ambiga memberi penjelasan berhubung kenyataan Rewcastle-Brown itu.

Katanya, Ambiga perlu bagi reaksi untuk memberi gambaran yang sebenarnya terhadap dakwaan editor terbabit adalah kenyataan dengar cakap (hear say).



Comments
Loading...