TRAGEDI HIGHLAND TOWER PUN BAKAL BERLAKU DI PULAU PINANG?
DARI SUDUT LAIN
Negara digemparkan baru-baru ini dengan kejadian tanah runtuh di kawasan tapak pembinaan bangunan 50 tingkat di Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Kejadian tersebut telah mengorbankan 11 orang pekerja pembinaan bangunan terbabit. Projek tersebut dijalankan oleh syarikat pemaju Taman Sri Bunga Sdn Bhd. Kawasan tersebut pula merupakan kawasan lereng bukit berkecerunan antara 15 hingga 25 darjah.
Menurut Bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dr. Lim Mah Hui, tanah itu didaftarkan sebagai kawasan lereng bukit di bawah Akta Perlindungan Tanah 1960 dengan 43 peratus kawasannya merupakan cerun dengan lebih 25 darjah sekaligus dikategorikan sebagai kawasan lereng bukit yang sensitif. Namun selepas membeli tanah itu pada 2010, pemaju berkenaan membuat permohonan supaya status lereng bukitnya dibatalkan dan diluluskan SPC pada 2011 dengan bayaran RM1 juta kepada kerajaan negeri.
Pembangunan tersebut sebelum ini telah mendapat bantahan dari persatuan penduduk kawasan berkenaan. Bantahan terakhir yang mereka lakukan baru seminggu sebelum kejadian tersebut berlaku. Namun Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mengendahkan bantahan tersebut malah menyifatkan mereka sebagai tidak waras. ADUN DAP kawasan Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu, mendedahkan sehingga kini, masih ada 10 lagi projek pembinaan di lereng bukit di negeri tersebut yang masih dijalankan. Beliau sering membangkitkan perkara ini dengan menggunakan perkataan ‘menentang sekeras-kerasnya’, namun ditertawakan oleh beberapa ahli majlis bandaraya yang lain dengan menggunakan perkataan ‘menyokong penuh’.
http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/isu-pembangunan-lereng-bukit-pernah-dibangkit-1.746244
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/10/22/projek-pembinaan-tanjung-bungah/
Akibat tidak tahan dengan sikap angkuh kerajaan negeri yang dikuasai pemimpin tertinggi DAP itu, beliau menyatakan hasrat untuk keluar dari parti tersebut. Menurut beliau, sebelum ini beliau sudah menyatakan hasrat tersebut kepada pemimpin DAP dan mereka sedia maklum berkenaan perkara itu. Beliau turut mengajak pihak lain untuk turut sama keluar dari parti tersebut.
https://www.utusan.com.my/berita/politik/yee-cheu-keluar-dap-1.544683
Selain itu, tanah tersebut terletak betul-betul di tepi tapak kuari yang masih aktif sehingga sekarang. Kuari tersebut dibuka sejak 1960 dan melakukan letupan dua kali sebulan. Yang terakhir adalah pada 19 Oktober yang lalu. Biasanya struktur tanih di kawasan seperti ini adalah longgar dan tidak sesuai untuk pembangunan seumpama membina bangunan tinggi di lerengnya.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah pun menolak permohonan pemaju pada 23 Januari 2015, melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana tidak menepati garis panduan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, namun pemaju tetap meneruskan projek berkenaan.
Kementerian itu berkata, pihaknya tidak menyokong permohonan itu kerana tidak ada zon penampan di antara projek pangsapuri dengan kawasan aktiviti kuari berhampiran seperti yang dikehendaki oleh Garis Panduan Tapak dan Pengezonan Industri dan Kawasan Kediaman. Aktiviti penggalian hanya 162 meter (m) dari tapak penghancuran dan antara 400m dan 500m dari tapak letupan.Oleh itu, ia bukan persekitaran yang selamat dan damai bagi rakyat untuk hidup.
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/10/23/jas-tidak-luluskan/
Mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, pembangunan yang membabitkan tebing curam memerlukan kajian kejuruteraan terperinci yang kemudiannya mungkin memerlukan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Di dalam prosedur biasa EIA, laporan EIA tersebut perlu dipamerkan kepada masyarakat untuk mendapat maklum balas daripada mereka. Namun tidak dapat dipastikan apakah syarikat pemaju telah melakukan semua prosedur ini ataupun tidak.
Apa yang pasti, kerajaan negeri Pulau Pinang melalui Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) telah meluluskan pembinaan bangunan 50 tingkat tersebut berdasarkan Garis Panduan untuk Pembangunan Lereng Bukit 2012 Pulau Pinang. Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow. Hal ini menimbulkan tanda tanya sejauh manakah keabsahan dan keberkesanan garis panduan yang dibuat oleh kerajaan negeri itu terutama melibatkan alam sekitar, sehingga boleh berlaku runtuhan terhadap bangunan yang telah mematuhi syarat-syaratnya. Sikap kerajaan negeri yang tetap meneruskan pembinaan tanpa kelulusan JAS, merupakan satu contoh kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan memgabaikan etika pembangunan.
“JAS mungkin membantah pelan itu tetapi selepas mempertimbangkan pandangan daripada semua agensi dalam OSC, keputusan dibuat untuk meluluskan projek tersebut,” kata Chow pada sidang media di Komtar pada Isnin.
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/10/23/osc-lulus/
Sementara itu Datuk bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Maimunah Mohd Sharif , mempersoalkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) kenapa tidak menolak dua projek lain yang lebih dekat dengan tapak kuari yang menyebabkan 11 pekerja maut ditimbus tanah runtuh di Tanjung Bungah. Beliau berkata, dua projek itu terdiri daripada pembinaan rumah teres tiga tingkat dan kampus cawangan Kolej Tunku Abdul Rahman (TARC).
Walaubagaimanapun, perbandingan yang dibuat oleh Datuk Bandar itu kurang tepat kerana kedua bangunan yang diluluskan pembinaannya oleh JAS tidak setinggi kondominium 600 unit yang berlaku runtuhan tersebut. Bangunan setinggi 50 tingkat yang ingin dibina itu boleh dikategorikan sebagai pencakar langit, dan memerlukan kepada kepakaran yang khusus serta material bermutu tinggi, selain kajian yang mendalam tehadap aspek keselamatan. Piawaiannya tentu sekali berbeza dengan bangunan-bangunan rendah yang lain.
Tragedi ini mengingatkan kembali peristiwa Highland Tower yang pernah berlaku di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur pada tahun 1993. Satu daripada tiga blok bangunan setinggi 12 tingkat yang juga dibina di lereng bukit telah runtuh dalam satu kejadian yang mengakibatkan 48 orang awam maut. Menurut pakar, struktur tanih di Bukit Antarabangsa juga dalam kategori longgar dan tidak stabil. Bezanya di Tanjung Bungah, ketika ia masih dalam proses pembinaan pun sudah berlaku tragedi tanah runtuh berbanding di Highland Tower berlaku selepas bangunan itu telah diduduki. Namun dari sudut risiko, risiko bangunan Tanjung Bungah ini adalah lebih merbahaya kerana ianya adalah 3 kali ganda lebih tinggi daripada Highland Tower. Sekiranya semua 600 unit kondominium berpenghuni, ia bakal mengancam nyawa kira-kira 1000 orang dalam satu masa.