KERJASAMA RENTAS PARTI MENENTANG DAP PERLU DIJAYAKAN


DARI SUDUT LAIN

Al-Quran dipenuhi dengan ayat-ayat yang memerintahkan penganutnya supaya bersatu padu dan melarang supaya berpecah dan bertelagah. Boleh lihat contohnya pada surah Ali Imran ayat 103, surah Al-Anfal ayat 46, surah As-Saff ayat 2, surah At-Taubah ayat 71 dan surah Al-Maidah ayat 2. Justeru itu ia menjadi kewajipan kepada semua yang bergelar muslim tanpa mengira fahaman, kumpulan atau aliran.

Kesatuan yang paling kritikal untuk dibina adalah bagi menghadapi ancaman musuh Islam terhadap agama Islam. Di peringkat antarabangsa, umat Islam tidak seharusnya menjadikan perbezaan kaum, mazhab atau geografi sebagai sebab untuk tidak bersatu. Ini kerana musuh-musuh Islam sedang bersatu menghadapi Islam walaupun mereka dari kumpulan dan memiliki matlamat perjuangan yang berbeza.

Di Malaysia secara khusus, perbezaan paling ketara di kalangan umat Islam adalah antara parti politik dan juga pertubuhan dakwah. Masing-masing memiliki agenda yang berbeza dan matlamat tersendiri. Namun semua perbezaan ini sepatutnya diketepikan untuk menghadapi ancaman terhadap agama.

Ancaman terhadap agama kini semakin menjadi-jadi. Gerakan Liberalisme yang menolak autoriti agama tidak kira Islam mahupun agama lain menular ke dalam masyarakat. Jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang meletakkan Kepercayaan Kepada Tuhan sebagai rukun pertama. Gerakan Kristianisasi juga semakin berani mempengaruhi penganut Islam. Mencabar peruntukan perlembagaan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan segala akta yang berkaitan.

Gerakan Liberalisme dan Kristianisasi didukungi oleh berbagai pihak. Yang paling besar memainkan peranan adalah kumpulan politik DAP dan sekutunya. Mereka banyak memberi ruang kepada kumpulan ini bergerak dengan pengaruh dan kuasa yang mereka ada. Mereka juga banyak membela kumpulan ini melalui perbahasan di parlimen dan dun, juga melalui kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan.

TOV sebelum ini banyak menulis tentang perkara-perkara ini. Boleh rujuk di pautan berikut:

http://www.malaysia-today.net/selepas-dap-perkuda-saifuddin-kini-giliran-wan-ji-pula/

http://www.malaysia-today.net/politikus-dan-isu-arak/

http://www.malaysia-today.net/undi-dap-bererti-undi-mungkar/

http://www.malaysia-today.net/%E2%81%A0%E2%81%A0%E2%81%A0dap-cauvinis-pergunakan-melayu-ph-untuk-raih-kuasa/

http://www.malaysia-today.net/%E2%81%A0%E2%81%A0%E2%81%A0benarkah-dap-sokong-islamisasi/

http://www.malaysia-today.net/undi-ph-undi-dap-undi-dap-undi-anti-islam-anti-melayu-dan-anti-raja/

http://www.malaysia-today.net/campurtangan-fatwa-penang-siri-1-siapa-paling-berautoriti-ke-atas-fatwa/

http://www.malaysia-today.net/campurtangan-fatwa-penang-siri-2-di-mana-salah-laku-kerajaan-dap-pulau-pinang/

http://www.malaysia-today.net/jawatan-menteri-kewangan-kit-siang-tiru-taktik-anwar/

Ancaman kumpulan politik seperti DAP tidak boleh dipandang enteng oleh umat Islam. Dengan kuasa yang ada sekarang, mereka berjaya menafikan dua pertiga majoriti Islam di parlimen, selain menjadi kerajaan di Pulau Pinang dan Selangor. Setakat ini sahaja sudah banyak masalah yang mereka timbulkan. Jika dibiarkan, tidak mustahil mereka akan terus meraih kuasa dan ancaman terhadap agama makin dahsyat.

Jika dilihat menerusi PRU12, mereka berjaya meraih 30 kerusi Parlimen dan mengepalai kerajaan Pulau Pinang. Pada waktu itu, mereka tidak pernah berkempen untuk memerintah negara. Mungkin kerana tidak pernah menjangkakan bakal menerima sokongan sebegitu besar. Namun pada PRU13, mereka sudah berani menguar-uarkan akan memerintah negara bersama parti komponen Pakatan Rakyat. Keputusannya, DAP berjaya menambah kerusi kepada 38 dan menjadi parti paling dominan dalam PR.

Dengan femonena ini, boleh dibuat unjuran kemungkinan PRU14 nanti mereka akan menambah lagi antara 40 hingga 50 kerusi. Ini berdasarkan kenyataan-kenyataan mereka yang mahu bertanding di beberapa buah kerusi yang sebelum ini tidak ditandingi. Kebanyakan kerusi yang dinyatakan adalah kerusi marginal, iaitu kerusi yang memiliki komposisi kaum yang agak seimbang. Sebelum ini, kerusi tersebut ditandingi oleh PKR mewakili pembangkang.

Tidak mustahil kerusi-kerusi baru yang akan ditandingi itu akan diletakkan calon-calon berbangsa Melayu. Sekarang mereka sedang giat menarik tokoh-tokoh Melayu bersama mereka. Tujuannya untuk meraih sokongan kaum melayu. Dalam keadaan sokongan kaum Cina yang masih memihak kepada mereka, kemungkinan untuk DAP menambah kerusi di kawasan marginal sangat berasas.

Mungkin ada yang berpandangan tidak mengapa DAP boleh menambah hingga 50 kerusi sekalipun. Ini kerana jumlah tersebut masih tidak mencukupi untuk mendapat majoriti mudah iaitu 112 kerusi. Pandangan ini perlu dijawab dari dua aspek. Pertamanya walaupun DAP memiliki 50, tetapi mereka tetap berpotensi memerintah jika sekutu mereka yang lain iaitu PKR, PAN dan PPBM meraih baki kerusi yang lain. Apa yang dibimbangi, DAP tetap akan menjadi teras pemerintahan kerana memiliki kerusi paling banyak diantara sekutunya.

Kedua, jika DAP tidak berjaya memerintah, mereka telah menambah kekuatan mereka dalam politik Malaysia. Mereka akan menghadapi PRU15 yang seterusnya berbekalkan modal penambahan kerusi yang dimenangi pada PRU14. Mengikut unjuran yang ada, mereka berupaya untuk menambah lagi sokongan pada PRU15 lebih dari pencapaian pada PRU14.

Oleh sebab itulah, umat Islam seluruh Malaysia mesti memikirkan kemungkinan ini. Perkara ini bukan soal politik semata-mata, tetapi akan memberi kesan secara langsung kepada masa depan agama di negara kita. Tanpa mengira fahaman politik dan jemaah, umat Islam perlu bersatu padu menghadapi DAP. Mereka yang tidak pernah mempedulikan isu politik juga perlu mengambil berat dari sudut ini.

Mereka yang tidak berparti tidak perlu jadi ahli mana-mana parti untuk mengatasi masalah ini. Yang sudah berparti juga tidak perlu tukar parti. Bahkan orang Islam yang jadi ahli DAP, PKR, PAN atau PPBM tidak perlu keluar dari parti mereka untuk menyelesaikan masalah ini. Cukup dengan membentuk muafakat dan mengambil kata sepakat untuk menolak pengaruh politik musuh Islam menjelang PRU14 akan datang.

 



Comments
Loading...