Mahathir Hina Bugis: PAS Pertahan Teguran Sultan Selangor
(Kedah News) – PAS Selangor menjunjung kasih di atas titah Sultan Selangor berhubung petikan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghina dan memperlekeh bangsa Bugis.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, Allah menjadikan manusia dari pelbagai bangsa dan kaum adalah dengan tujuan supaya berkenalan dan berkasih sayang serta hidup dengan kerukunan.
Keburukan perilaku atau perkara yang tidak baik seseorang seharusnya tidak disandarkan kepada kaum atau keturunan, katanya yang dipetika daripada portal HarakahDaily semalam.
Beliau lalu memetik firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Al-Hujurat: 13)
Menurut Salehen lagi, bangsa Bugis merupakan sebahagian salasilah keturunan keluarga Diraja Selangor dan sejarah telah merakamkan kepahlawanan serta kehebatan bangsa Bugis yang menjadi kebanggaan rakyat negeri khususnya.
“Justeru PAS Selangor bersama dengan titah DYMM Tuanku dan mengharap agar kita sentiasa mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera serta menjauhi amalan politik perkauman dan benci membenci,” katanya lagi.
Semalam pada 2 November 2017 Dewan Diraja Selangor dalam kenyataannya memandang serius, murka dan amat kecewa dengan petikan ucapan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan di Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi yang berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya pada 14 Oktober 2017.
Ucapan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilihat cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.
Sehubungan itu Sultan Selangor mengingatkan kepada semua pihak terutama orang-orang politik untuk tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik kerana ianya boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat negara ini, kata Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais dalam kenyaatan itu.