RELEVANKAH BAJET ALTERNATIF?


DARI SUDUT LAIN

Hampir 20 tahun lepas, Malaysia mula mengenali apa yang dikatakan sebagai bajet alternatif. Ia merupakan satu bajet yang dibentangkan oleh pihak bukan kerajaan, sebagai alternatif kepada bajet kerajaan yang dibentang pada setiap tahun. Kebiasaannya, bajet alternatif akan dibentang sehari atau dua hari sebelum bajet kerajaan bertujuan untuk menarik perhatian masyarakat memperkatakan tentangnya.

Bermula alaf baru tersebut, saban tahun kita akan dibentangkan dengan bajet alternatif sehingga sekarang. Namun belum ada satu pun dalam tempoh hampir dua dekad itu, bajet alternatif diterima pakai oleh kerajaan. Ia tidak lebih sekadar gimik politik bagi menunjukkan bahawa pihak lain juga berupaya membuat bajet untuk negara walaupun tidak sampai seminggu selepas dibentang, ia dilupakan begitu sahaja.

Membuat bajet negara sebenarnya bukan sesuatu yang mudah, ia melibatkan jentera pentadbiran kerajaan yang besar. Sebelum bajet kerajaan dibentang, mereka terlebih dahulu mengumpulkan anggaran bajet yang dibuat oleh setiap agensi dan organisasi kerajaan bermula dari yang paling bawah. Contohnya bagi Kementerian Pengajian Tinggi, bajet kementerian tersebut mengambil kira anggaran bajet sesebuah jabatan yang dikemukakan kepada peringkat fakulti yang menaunginya. Kemudian fakulti pula mengumpulkan anggaran bajet setiap jabatan untuk merangka bajet keseluruhan peringkat fakulti, sebelum dikemukakan pula kepada pihak universiti. Universiti pula melakukan perkara serupa menyiapkan anggaran bajet universiti untuk dikemukakan kepada kementerian. Akhir sekali barulah kementerian mengemukakan kepada kabinet sebagai sebahagian bajet negara untuk tahun fiskal tersebut.

Berdasarkan birokrasi ini, setiap angka yang disebutkan di dalam bajet negara memiliki asas yang kukuh. Namun bajet alternatif tidak melalui proses tersebut, dengan pengertian lain bajet yang tidak memiliki data perolehan dan juga keperluan setiap sektor negara secara tepat. Apa yang pelik, bajet alternatif cuba dibentangkan oleh pihak pembangkang dengan format yang hampir sama dengan bajet kerajaan, sedangkan angka-angka yang dikemukakan tidak diketahui asasnya. Angka-angka tersebut tidak menjejak di bumi yang nyata. Sukar untuk diterima dan tidak sesuai digunapakai.

Tambahan pula, kerajaan sebenarnya menyiapkan sesuatu bajet tahunan mengambil rancangan pembangunan negara jangka masa sederhana iaitu Rancangan Malaysia ke 11 (RMK-11). Bajet yang dikemukakan adalah dalam rangka memenuhi rancangan pembangunan jangka sederhana tersebut, bukannya terpisah secara tersendiri. Kerajaan mengambil kira matlamat yang mahu dicapai dalam tempoh lima tahun fiskal tersebut, selain melihat prestasi tahun sebelumnya dan unjuran tahun hadapan. Sedangkan Pakatan Harapan (PH) khususnya tidak memiliki apa-apa rancangan pembangunan jangka masa sederhana alternatif apalagi rancangan pembangunan jangka panjang. Hal ini menimbulkan tanda tanya apakah belanjawan PH tersebut mengambil kira dasar dan perlaksanaan program-program ekonomi yang telah dirangka dalam Rancangan Malaysia tersebut. Jika PH benar-benar serius mahu mengemukakan alternatif kepada pengurusan ekonomi negara, mereka sepatutnya turut mencadangkan Rancangan Malaysia Alternatif ketika kerajaan melancarkan RMK-11 dua tahun lalu.

Tidak dinafikan banyak tawaran positif kepada rakyat yang ditawarkan di dalam bajet alternatif PH seperti pemansuhan tol dan pendidikan percuma. Sebagai menunjukkan komitmen dan tidak dianggap janji populis, sepatutnya PH berusaha melaksanakan beberapa polisi yang dicadangkan itu di negeri-negeri yang mereka kuasai dahulu seperti Pulau Pinang dan juga Selangor.

Sewaktu PAS mengambil alih kerajaan Terengganu, mereka berjaya menunaikan janji dengan menghapuskan tol Jambatan Sultan Mahmud. Mengapa perkara sama tidak boleh dilakukan di Pulau Pinang sebagaimana manifesto mereka sejak PRU ke-12 lagi? Dari sudut pendidikan percuma, kerajaan Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim pernah cuba melaksanakannya dengan kaedah mencairkan aset kerajaan negeri semasa berlaku krisis PTPTN di UNISEL dan KUIS. Bermakna kerajaan negeri sebenarnya mampu melaksanakan polisi pendidikan percuma walaupun tidak mendapat kuasa di peringkat pusat.

Baca:

https://www.malaysia-today.net/dap-disaran-tiru-cara-pas-urus-tol-terengganu/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/06/07/unisel-cair-aset-bantu-pelajar/

Hakikatnya, bajet alternatif dilihat tidak lebih sekadar tindakan populis untuk menaikkan imej politik semata-mata. Ia bukan tawaran yang tuntas bagi membantu negara menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Mungkin atas sebab ini, PAS mengambil sikap untuk tidak turut menawarkan bajet alternatif. Kalau ada pun hanyalah dari pihak Dewan Pemuda PAS sahaja. PAS nampaknya lebih menumpukan kepada kaedah penyelesaian yang lebih lestari seperti solusi melalui Dokumen Hijau, dan juga melalui dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera yang lebih holistik dan berpandangan jaug. Tawaran-tawaran bajet alternatif PH kini tidak lagi dibicarakan setelah keluarnya bajet kerajaan. Tetapi solusi-solusi yang dicadangkan melalui Dokumen Hijau dan WINS terus diperkatakan masyarakat dari semasa ke semasa.

Kesimpulannya, PAS lebih memainkan peranan sebagai badan yang menjadi penilai dan pengimbang (check and balance) kepada kerajaan sedia ada. Mereka mengambil peranan mengisi lompong-lompong yang gagal dipenuhi kerajaan dalam membantu negara ke arah lebih baik. Sedangkan PH lebih berperanan sebagai pesaing semata-mata yang sentiasa memanipulasi sisi negatif kerajaan untuk tujuan politik, tanpa mengambil kira kestabilan negara dan masyarakat.

 



Comments
Loading...