Dua muka baru dalam CEC, anak beranak Lim kekal di tangga tiga teratas


(Antarapos) – Pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hari ini menyaksikan kemasukan dua muka baru dalam senarai 20 anggota jawatankuasa itu yang dipilih perwakilan.
Dua muka baru yang dipilih adalah bekas Exco Selangor, Ronnie Liu dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.
ADUN Skudai, Boo Cheng Hau terkeluar daripada senarai berkenaan, manakala bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh secara automatik terkeluar kerana meninggal dunia. Karpal meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas jalan raya pada 2014.
Sementara itu, dua anak beranak Lim, terus mengungguli senarai jawatankuasa tertinggi parti. Lim Kit Siang menduduki tempat pertama dengan memperoleh 1,199 undi, manakala anaknya Lim Guan Eng menduduki tempat ketiga dengan jumlah undi 1,180.
Berbanding keputusan pemilihan CEC 2013 lalu Kit Siang mengalami penyusutan 237 undi (1436 undi pada 2013). Manakala Guan Eng berkurangan 124 undi (1304 undi pada 2013).
Tempat kedua diisi anak kepada Karpal, Gobind Singh Deo dengan 1,198 undi.
Satu-satunya wakil tunggal Melayu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari menduduki tempat ke-19 daripada senarai 20 anggota CEC DAP dengan memperoleh 649 undi.
Sebanyak 1,356 kertas undi dikeluarkan dengan 1,346 kertas undi yang dikembalikan semula.
Bagaimanapun hanya 1,310 undi dikira sebagai undi sah, dengan undi rosak pula sebanyak 36.
Berikut merupakan senarai 20 anggota CEC DAP yang baru:
1. Lim Kit Siang (1,199 undi)
2. Gobind Singh Deo (1,198 undi)
3. Lim Guan Eng (1,180 undi)
4. Anthony Loke Siew Fook (1,175 undi)
5. Liew Chin Tong (1,123 undi)
6. Teo Nie Ching(1,080 undi)
7. Chong Chieng Jen (1,057 undi)
8. Teresa Kok (1,033 undi)
9. Tan Kok Wai (1,021 undi)
10. Tony Pua (1,020 undi)
11. Nga Kor Ming (967 undi)
12. Fong Kui Lun (949 undi)
13. Chow Kon Yeow (900 undi)
14. M. Kulasegaran (826 undi)
15. Chong Eng (734 undi)
16. Teng Chang Khim (702 undi)
17. Ronnie Liew (688 undi)
18. Ngeh Koo Ham (659 undi)
19. Zairil Khir Johari (649 undi)
20. V Sivakumar (586 undi)


Comments
Loading...