Dr M tak perlu jadi calon PRU14 untuk isytihar harta, kata Nazri


“Isytihar mana datang sumber kekayaan itu. Tiba-tiba sahaja Dr Mahathir pencen, anak-anak kaya dan difahamkan masing-masing mempunyai tidak kurang RM100 juta…saya dengarlah. Anak dia kena beritahulah.”

(FMT) – Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu menjadi calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) untuk mengisytihar hartanya kepada umum.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, anak bekas perdana menteri itu juga perlu mengisytihar harta mereka kerana rakyat ingin tahu kekayaan “luar biasa” Dr Mahathir dan keluarganya selepas beliau tidak memimpin negara.

“Tidak perlu bertanding pilihan raya umum. Isytihar sahaja. Pertama sekali bukan dia sahaja, kita nak tahu anak dia itu,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Cina Sedunia ke-33 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), hari ini.

“Isytihar mana datang sumber kekayaan itu. Tiba-tiba sahaja Dr Mahathir pencen, anak-anak kaya dan difahamkan masing-masing mempunyai tidak kurang RM100 juta…saya dengarlah. Anak dia kena beritahulah.”

Beliau mengulas kenyataan pengerusi Pakatan Harapan itu semalam yang bersedia mengisytihar hartanya jika dipilih sebagai calon PRU14.

Dr Mahathir turut membidas akhbar pro-Umno memetik artikel dan gambar mengenai gaya hidup cucunya dari sebuah blog untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadapnya.

Utusan Malaysia dan Berita Harian baru-baru ini menyiarkan laporan mengenai gaya hidup “mewah” 2 anak Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berdasarkan gambar diambil daripada Instagram mereka.

Mengulas lanjut, Nazri yang juga menteri pelancongan dan kebudayaan mencabar Dr Mahathir mendedahkan kekayaan menteri Umno.

“Koreklah, kita semua terbuka. Macam saya dan keluarga saya dan anak-anak saya semua orang korek. Tidak ada masalah. Koreklah.

“Nanti kita korek dia punya, baru dia tahu nanti. Ingat kita takut sangat ke? Saya pernah isytihar pada dia. Saya pernah jadi menteri (di bawah pimpinan) dia.

“Ingat kita takut. Koreklah. Kita sentiasa buat pengisytiharan (harta), apa nak takut?”

 



Comments
Loading...