‘Kenapa Marina bidas budaya Arab, membisu budaya barat’
Fathul Bari Mat Jahaya berkata, cara pengasas Sisters In Islam (SIS) itu mempromosikan dirinya bagaimanapun tidak menonjolkan ciri atau budaya Melayu.
(FMT) – Seorang pegawai khas di Pejabat Penasihat Perdana Menteri mempersoalkan tindakan Datin Paduka Marina Mahathir membidas penyebaran budaya Arab di negara ini, tetapi membisu terhadap kemasukan budaya barat yang menyebabkan budaya tempatan terhakis.
Datuk Fathul Bari Mat Jahaya berkata, cara pengasas Sisters In Islam (SIS) itu mempromosikan dirinya bagaimanapun tidak menonjolkan ciri atau budaya Melayu.
“Cara dia mempromosikan diri dia bukan budaya Melayu sangat pun. Kalau sekiranya contohnya dia memakai baju kebaya ke, pakai kain batik ke, ada nampak ciri-ciri budaya Melayu.
“Cakap soal Islam, budaya Melayu dengan Islam sangat dekat. Tak perlulah dia nak cakap budaya Arab Saudi masuk. Sekarang ini budaya barat masuk, ada ke dia bercakap?
“Budaya kuning masuk, konsert sana sini yang teruk-teruk, pesta sana sini mana suara dia? Kalau ada suara dia bercakap tak apa, tapi dia tak bercakap, maknanya adakah dia sekarang membawa budaya barat masuk dalam negara kita untuk menolak budaya Islam?” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Marina semalam yang mengaitkan pemikiran dan dasar Islam tegas semakin berkembang di pelbagai peringkat kerajaan serta masyarakat, dengan pengaruh Arab Saudi.
Aktivis sosial yang juga anak sulung Tun Dr Mahathir Mohamad itu dipetik Asia Times sebagai berkata, fenomena itu menyumbang kepada kehilangan elemen budaya tempatan yang digantikan dengan budaya Timur Tengah.
Asia Times melaporkan terdapat petunjuk Datuk Seri Najib Razak memanfaatkan hubungannya dengan Raja Saudi, Raja Salman Abdul Aziz bagi meningkatkan kedudukannya untuk meraih sokongan golongan tegar agama, kumpulan Melayu berhaluan kanan dan pengundi Islam konservatif di luar bandar.
Mengulas lanjut, Fathul yang juga exco Pemuda Umno berkata, jika Arab Saudi membawa kekerasan atau budaya negatif ke Malaysia, ia perlu ditolak.
“Tapi (bagaimana) sekiranya dia (Arab Saudi) membawa Islam, cuba menonjolkan keadilan Islam, keamanan, kesejahteraan sepertimana King Salman Centre, nak bicara soal keselamatan negara?” soalnya.
Julai lalu, perdana menteri mengumumkan peruntukan tanah seluas 16 hektar di Putrajaya untuk menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang diilhamkan susulan kunjungan Raja Salman ke Malaysia, Februari lalu.
Antara yang terlibat dalam penubuhan KSCIP ialah Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang akan bekerjasama dengan sebuah institut di bawah Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Markaz Harb Fikriah (Pusat Peperangan Ideologi).
Turut terlibat ialah Rabitah Alam Al-Islami (Liga Muslim Dunia), sebuah pertubuhan yang aktif dalam kegiatan dakwah di seluruh dunia, tetapi mengundang kontroversi berkaitan penyebaran fahaman Wahabi, aliran Islam yang menjadi pegangan pihak berkuasa Arab Saudi untuk sekian lama.
Dengan dilimpahi wang Saudi selama beberapa dekad, Liga Muslim Dunia membiayai pembinaan pusat Islam berskala besar di bandar raya Eropah dan mempromosi kegiatan dakwah Islam di Asia dan Afrika.