Selangor kesal kerana pembocoran maklumat
KENYATAAN MEDIA
Pentadbiran ini dimaklumkan bahawa salah seorang yang ditahan oleh SPRM berhubung dakwaan terlibat dalam aktiviti perlombongan pasir haram adalah anak saudara Dato’ Menteri Besar Selangor.
Kita tidak mempersoalkan tanggungjawab SPRM untuk menjalankan sebarang siasatan. Namun, dalam kes ini, kita kesal kerana pembocoran maklumat secara meluas melalui media sosial dan blogger UMNO sebelum penahanan tersebut dilakukan jelas menggambarkan wujudnya konspirasi jahat untuk memburukkan reputasi Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.
Walau bagaimanapun, sekiranya proses siasatan dijalankan secara profesional dan telus, pentadbiran ini mengalu-alukan siasatan yang mengikut lunas undang-undang tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak tertinggi yang berkepentingan. Barangkali diingat, siasatan ini jangan digunakan sebagai alat untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap skandal rasuah dan amalan kleptokrasi berskala besar yang melibatkan pemimpin negara.
Kerajaan Negeri Selangor tuntas berpegang kepada prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam semua proses perolehan Kerajaan bagi menjamin kepentingan rakyat dan Negeri Selangor.
YIN SHAO LOONG
Pengarah Komunikasi Strategik
Pejabat Menteri Besar Selangor