Peguam: Individu terkesan boleh cabar laporan RCI forex


Oleh kerana semakan kehakiman tidak mungkin berlaku, mereka boleh memohon deklarasi di Mahkamah Tinggi, kata Syed Iskandar

(FMT) – Individu yang terkesan dengan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas kerugian urus niaga mata wang asing yang dialami Bank Negara boleh mencabarnya di mahkamah, kata peguam.

Syed Iskandar Syed Jaafar Al-Mahdzar berkata mereka boleh memfailkan saman di Mahkamah Tinggi memohon pengisytiharaan seperti menyatakan pendakwaraya tidak terikat secara sah dengan syor RCI.

“Plaintif yang terkesan juga boleh memohon deklarasi supaya laporan itu dibuang kerana pengerusi RCI tidak bebas,” katanya kepada FMT.

Syed Iskandar berkata banyak jenis permohonan boleh dibuat dan ia bergantung kepada bagaimana rayuan dibuat.

Peguam itu berkata demikian mengulas kedudukan undang-undang semasa bahawa penemuan RCI tidak boleh disemak semula, seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes klip video VK Lingam pada 2011.

Mahkamah memutuskan penemuan RCI tidak boleh disemak semula dan berkata pesuruhjaya sekadar membuat penemuan dan bukan keputusan.

Dalam prosiding 2008 itu, panel yang dipengerusikan oleh seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan mendapati beberapa individu terlibat mengatur pengakiman mahkamah.

Panel itu mengesyorkan tindakan diambil terhadap Lingam, bekas ketua hakim negara Tun Eusoff Chin, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Tan Sri Vincent Tan, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bekas menteri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana salahlaku.

Turut ditemui ialah bukti prima facie untuk menyiasat 6 individu itu atas kesalahan di bawah Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan dan Akta Profesion Undang-undang.

Bagaimanapun, tiada orang didakwa.

Syed Iskandar berkata prospek mahkamah mendengar cabaran terhadap RCI melalui semakan undang-undang adalah kecil kerana mahkamah rendah harus mengikut duluan undang-undang.

“Tidak mungkin Mahkamah Persekutuan akan berpisah daripada keputusan sebelum ini (2011) kerana ia dibuat oleh panel yang terdiri daripada ketua hakim negara sekarang, Tan Sri Raus Sharif dan presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin,” katanya.

Anggota ke-3 panel itu, Tan Sri Abdull Hamid Embong sudah bersara.

RCI 5 anggota itu, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan, dalam laporan yang didedahkan Khamis lepas, menyimpulkan ada unsur menyembunyikan fakta dan maklumat berhubung kerugian urus niaga mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia dan kenyataan mengelirukan diberi kepada jemaah menteri, Parlimen dan orang ramai.

Laporan itu berkata BNM mengalami kerugian RM31.5 bilion antara 1992 dan 1994.

Suruhanjaya mengesyorkan polis membuka siasatan ke atas kemungkinan berlakunya pecah amanah atau penipuan oleh pelbagai pihak, termasuk Dr Mahathir dan menteri kewangan ketika itu (1991-1998), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut dinamakan bekas penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang menurut laporan itu boleh dipertanggungjawabkan kerana pecah amanah, manakala seorang lagi bekas menteri kewangan (1984-1991), Tun Daim Zainuddin, dikatakan membantu Nor Mohamed.

 



Comments
Loading...