RCI pilih-pilih maklumat supaya saya didakwa, kata Dr M


Bekas perdana menteri itu berkata banyak maklumat yang diberikan oleh beliau, Anwar Ibrahim dan Nor Mohamed tidak dimasukkan ke dalam laporan suruhanjaya.

(FMT) – Tun Dr Mahathir Mohamad menghentam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kerana mengemukakan laporan siasatan kerugian urus niaga mata wang asing yang tidak menyeluruh dan mendakwa ia dibuat sebegitu rupa supaya tindakan undang-undang diambil terhadap beliau.

Bekas perdana menteri itu berkata banyak maklumat yang diberikan olehnya, bekas menteri kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas penasihat Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dalam prosiding 9 hari itu tidak dimasukkan dalam laporan berkenaan.

“Mereka memilih-milih apa yang mereka masukkan dalam laporan RCI dan ianya bertujuan untuk memburukkan nama orang-orang tertentu termasuk saya supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap saya.

“Sebabnya ialah kerana saya memimpin parti lawan. Kalau tak pimpin parti lawan, saya ingat saya selamat,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial PPBM hari ini.

Laporan setebal 400 muka surat itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong 13 Oktober lalu dan diagihkan kepada 222 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 30 November lalu.

RCI yang ditubuhkan untuk menyiasat kerugian urus niaga mata awang asing yang dialami BNM 30 tahun lalu pada 1990-an itu menyimpulkan Dr Mahathir merelakan tindakan menteri kewangan ketika itu “menyembunyikan fakta dengan sengaja”.

“Terdapat elemen menyembunyikan fakta dengan sengaja memandangkan Laporan Tahunan BNM tidak menunjukkan kerugian sebenar yang dialami akibat urus niaga forex dari 1992 hingga 1994,” menurut laporan itu.

RCI turut menyalahkan Nor Mohamed atas kerugian RM31.5 bilion yang dialami BNM pada 1992 hingga 1994. RCI seterusnya mengesyorkan polis menyiasat Dr Mahathir, Anwar, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata sekiranya kerajaan benar-benar mahu menguatkuasakan undang-undang, maka RCI perlu ditubuhkan untuk menyiasat kontroversi sekitar 1MDB dan sumbangan RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Jadi ini adalah cara kerajaan pilih kasih, menyalahgunakan kuasa semata-mata untuk menghalang parti lawan daripada berusaha untuk menjatuhkan kerajaan.

“Inilah yang patut diselidik pasal ini sedang berlaku dan mempunyai kesan hari ini. Apa yang berlaku 30 tahun dahulu sudah diselesaikan dan tidak ada kesan terhadap kewangan negara,” katanya.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini membebaskan Najib daripada sebarang salah laku jenayah dalam siasatan pihak berkuasa ke atas SRC International dan sumbangan peribadi daripada kerabat diraja Arab Saudi itu.

 



Comments
Loading...