Janji ‘superman’ pembangkang akan hancurkan negara, kata Khairy


(FMT) – Segala janji manis yang ditaburkan Pakatan Harapan (PH) demi memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) boleh menghancurkan negara, kata Khairy Jamaluddin.

Ketua Pemuda Umno itu menyifatkan janji PH untuk memberi pendidikan percuma, pemansuhan tol serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST), tidak lebih daripada janji “Superman”.

“Kalau mendengar janji-janji pihak lawan, nescaya kita akan jadi Superman. Boleh terbang, boleh angkat bangunan, boleh segala-gala.

“Namun hakikat dunia tidak sebegitu. Berjanji memang mudah, bulan, bintang, matahari waima cakerawala. Sesiapa pun boleh kalau setakat menabur janji, tetapi pengundi yang celik dan rasional mesti bertanya, bolehkah janji itu dilaksana?” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda Umno hari ini.

Khairy berkata, PH perlu menaikkan semua jenis cukai atau negara akan muflis jika gabungan pembangkang itu mahu mengotakan janji mereka.

“Pertama, kita terpaksa naikkan segala jenis cukai seperti mana negara Scandinavia yang rakyatnya membayar cukai pendapatan lebih 50% dan kadar GST lebih 20%. Kedua, negara kita bankrap sebab hutang tak terbayar.”

Menteri belia dan sukan itu berkata, tiada orang yang suka membayar cukai, tetapi kerajaan perlu mengutip cukai untuk mengimbangi pembangunan negara.

“Tiada siapa yang suka bayar cukai. Kita sendiri pun akui, tak suka bayar cukai. Tapi suka atau tidak, kita tetap bayar cukai. Sebab apa? Kerana cukai itulah yang membiayai pembangunan, membantu yang memerlukan, dilabur untuk masa depan.

“Bila SST (cukai jualan dan perkhidmatan) dimansuh, GST diperkenal ramai tak setuju. Tetapi untuk tahun lepas sahaja, kutipan GST mencecah RM41 bilion.

“Bukan RM41 bilion itu masuk poket pemimpin sebagaimana yang ditohmah anak-anak muda di luar sana. Duit inilah yang digunakan untuk buat jalan, bina lebuh raya, biaya pendidikan di universiti, naik taraf sekolah, bayar operasi hospital dan klinik kerajaan, dan macam-macam lagi.”

Beliau berkata, GST yang dilaksanakan di banyak negara lain tidak pernah dimansuhkan selepas pertukaran kerajaan.

“United Kingdom, Australia, Germany dan 170 negara lain, semua ada GST. Malah di kalangan negara-negara ini, tidak ada satu kes pun di mana bila kerajaan bertukar, GST dihapus bersama. Itulah yang Datuk Ahmad Maslan dok terangkan satu negara sampai berbuih mulut.”

Khairy mendakwa pembangkang pernah memberi janji palsu kepada rakyat demi meraih undi.

Beliau memberi contoh kerajaan Selangor mengumumkan pemberian bonus 3 bulan kepada penjawat awam dalam Bajet 2018, tetapi 2/3 daripada bonus itu sudah dibayar ketika sambutan Aidilfitri tahun ini.

 



Comments
Loading...