Gagal serang Najib, DAP serang sultan pula, dakwa wakil Umno Selangor


(FMT) – Seorang wakil Umno Selangor menuduh DAP menyerang institusi raja di negerinya selepas gagal menjatuhkan Umno dan menyerang Presiden Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Zainal Abidin Sakom dari Umno Bahagian Hulu Selangor berkata ahli DAP Datuk Zaid Ibrahim telah berani berkata kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah “shut up!”.

“Kenapa institusi raja ini pula yang sekarang sedang diserang mereka yang diprogramkan DAP ini,” katanya ketika perbahasan usul agama dan pendidikan sempena Perhimpunan Agung Umno ke-71 hari ini.

Zaid, seorang bekas menteri, di Twitter “menegur” Sultan Selangor yang mengkritik Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai didorong “kebencian” dan akan “membakar seluruh negara dengan api kemarahannya”.

Zaid berkata Sultan Selangor “seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar”.

Sultan Selangor kemudiannya memberitahu Zaid supaya pulang ke Kelantan kalau tidak bersetuju.

Zainal Abidin juga mendakwa DAP langsung tak malu menggunakan khidmat penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin yang beliau dakwa mahu mentiadakan institusi raja di negara ini.

“Dengan bangganya DAP ambil ustaz Wan Ji sebagai pegawai khas untuk bertugas di Pulau Pinang. Langsung tak segan, langsung tak malu dengan orang Melayu,” katanya.

Beliau mengingatkan persidangan bahawa Umno Selangor, diketuai Pengerusi Tan Sri Noh Omar akan mengadakan perhimpunan esok di Shah Alam bagi menunjukkan sokongan kepada Sultan Selangor dan beliau menjenmput semua perwakilan menyertainya.

“Kita tunjukkan Umno tetap mempertahankan sultan dan raja,” tambahnya.

 



Comments
Loading...