Tun M Tidak Konsisten
(Malaysian Access) – Kenyataan Tun Dr Mahathir dalam pelbagai isu sentiasa sukar dipastikan kebenarannya. Ini kerana bekas perdana menteri itu sering sahaja mengeluarkan kenyataan yang jelas bertentangan dengan kenyataan beliau sebelum ini. Malah dalam beberapa perkara kefahaman kita tentang apa yang bermain di pemikiran beliau sukar untuk dijelaskan. Sejak bersama-sama dengan pihak pembangkang, Tun M cuba melihatkan diri beliau sebagai seorang perdana menteri yang bersih, memiliki rekod hak asasi manusia yang cemerlang dan tidak pernah menganiayai sesiapa sepanjang pentadbiran beliau.
Namun hakikatnya, Tun M sebenarnya sering celaru dan tidak konsisten dengan pendiriannya. Pandangan beliau sentiasa berubah-ubah mengikut kepentingan diri dan mana-mana perkara yang boleh melihatkan dirinya sebagai positif, hal itu akan dijunjungnya terlebih dahulu. Sebelum ini seluruh Malaysia tahu bahawa Tun M memecat bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 kerana mendakwa Anwar sebagai seseorang yang tidak bermoral.
Tetapi hari ini, Anwar dilihat Tun M dalam keadaan yang berbeza. Malah Tun M lebih daripada itu menggesa Anwar dibebaskan dari penjara dan menganggap Anwar sebagai tahanan politik. Ini satu kenyataan yang cukup pelik dari Tun M dan apakah status pemecatan Anwar dahulu berkait dengan isu moral atau semata-mata permainan politik Tun M? Ini juga harus dijelaskan oleh Tun M sendiri.
Menuntut Anwar dibebaskan dari hukuman akibat kesalahan liwat yang diputuskan Mahkamah jelas melihatkan bagaimana Tun M terdesak dalam mencatur politik untuk kepentingan dirinya sendiri. Bagaimana pula dengan sokongan yang pernah diberikan Tun M terhadap mangsa dalam kes berkenaan, Saiful Bukhari Azlan suatu ketika dahulu? Adakah pada masa kini selepas bersama-sama pembangkang Tun M telah menukar pandangannya dengan menganggap Anwar tidak bersalah?
Permainan politik putar belit seperti ini sudah menjadi asas kepada pemikiran Tun M. Malah beliau tidak pula segan mengeluarkan kenyataan-kenyataan bercanggah ini dan sentiasa bersedia untuk memutarkan fakta untuk mengukuhkan kedudukan politiknya sendiri. Selepas sedar UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak lagi melayan kehendak dan kemahuan beliau, Tun M melihat pembangkang sebagai kesempatan terbaik untuknya meneruskan pengaruh politik.
Sudah beberapa kali dalam sejarah Tun M membuat pusingan ‘U’, tetapi sehingga kini kita masih belum mendengar sebarang penjelasan beliau terhadap kenyataan-kenyataanya yang bercanggah. Malah tiada pula kita mendengar kesediaan Tun M menjelaskan kepada umum tentang apa sebenarnya yang terjadi pada tahun 1998 atau mengapa beliau tiba-tiba menyerang YAB Perdana Menteri.
Tun M sebenarnya bimbang jika penjelasan benar dibuat sudah tentu perangkap politik yang dipasangnya tidak akan berkesan, justeru berputar-belit dan tidak konsisten ialah jalan paling selamat untuk Tun M terus kekal dalam politik negara walaupun kerelevanan beliau sudah boleh dipertikaikan.