Mahathir Tidak Lagi Relevan Diangkat Jadi PM Semula, Kata Pemuda PAS
(Utusan Malaysia) – Pas menyifatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah tidak relevan untuk diangkat semula menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan yang diketuai DAP menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, banyak peristiwa tidak baik berlaku ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri itu seperti tragedi Memali; krisis raja-raja Melayu; isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pelbagai lagi perkara lain.
Malah katanya, disebabkan Pengerusi Pakatan Harapan itu, kerajaan pada masa kini terpaksa membersihkan pelbagai ‘penyakit’ yang berpunca ketika zaman Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.
“Saya tidak nampak apa relevannya untuk memberikan semula kepercayaan kepada Dr. Mahathir yang dijangka kembali menghancurkan negara.
“Jadi, Dr. Mahathir wajib ditolak dan rakyat boleh memberi kepercayaan kepada Pas yang mengamalkan budaya politik matang untuk meneraju negara” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas negeri berkata, langkah Pakatan Harapan menamakan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri membuktikan gabungan tersebut tidak mempunyai tokoh yang boleh dijadikan sebagai rujukan.
“Orang seperti Dr. Mahathir ini boleh berubah pada bila-bila masa dan sering melakukan ‘U-turn’. Ini termasuk pendirian terbaharunya yang mahu Anwar dibebaskan daripada penjara sedangkan beliau sebenarnya yang bertanggungjawab menyingkirkan Anwar dahulu,” katanya.