Tun M dicabar lapor polis isu BNM hilang RM161b
(Malaysia Gazette) – Tun Dr. Mahathir Mohamad dicabar membuat laporan polis berhubung dakwaan Bank Negara Malaysia (BNM) kehilangan RM161 bilion di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu perlu mengemukakan bukti tentang kehilangan itu bukan hanya membuat kenyataan media sahaja.
“Mahathir mendakwa BNM kerugian RM161.6 bilion di bawah Najib tapi beliau hanya buat kenyataan itu di laman sosial Facebook sahaja.
“Saya minta Mahathir buat laporan polis rasmi dengan bukti yang menyokong dakwaan beliau bukan hanya seperti apa yang dia lakukan sekarang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Pengerusi PH itu pada 10 Disember lalu bahawa pentadbiran Najib mencatatkan kehilangan mencecah AS$39.6 bilion atau RM160 bilion hanya bagi tempoh tahun 2013 hingga tahun 2015.
Mahathir mendakwa, jumlah tersebut terkandung dalam laporan tahunan BNM sekaligus merupakan kerugian yang jauh lebih banyak berbanding ketika pentadbirannya sebagai Perdana Menteri.
Ramesh juga mempersoalkan waktu pendedahan itu dibuat ketika proses siasatan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan skandal dagangan mata wang asing sekitar tahun 90-an itu sedang berjalan.
Katanya, laporan RCI mengesyorkan Mahathir dan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim disiasat oleh polis kerana dikatakan tahu dan menyembunyikan fakta berkaita kerugian RM31 bilion yang dilaporkan akibat skandal itu.
“Kita tahu hari ini, Mahathir dikatakan sudah memfailkan saman untuk mengisytiharkan laporan RCI itu tidak sah dan terbatal,” katanya.
Katanya lagi, tindakan terbaru Mahathir itu cuba mengalihkan perhatian semua pihak terhadap dakwaan salah guna kuasa ketika beliau menerajui negara lebih 22 tahun lalu.
“PMSP mendesak Mahathir buat laporan polis tentang dakwaannya itu dan biar polis siasat perkara berkenaan dan mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya lagi.