Mahathir: Anugerah terhebat atau beban buat Pakatan?


(Malaysia Impact) – Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti PPBM dan mengumumkan menyertai Pakatan Harapan (PH), bersorak sakan penyokong pembangkang kerana percaya bekas Perdana Menteri paling lama dalam sejarah negara itu adalah satu anugerah terhebat untuk mereka. Pemimpin PH menaruh keyakinan menggunung kepada Mahathir untuk memecah belahkan sokongan orang Melayu kepada UMNO.

Bagi UMNO pula, mereka tidak boleh berbohong yang mereka juga sebenarnya cemas dan khuatir dengan keputusan Mahathir itu. Dari pemimpin tertinggi parti hinggalah ahli biasa di peringkat bawahan merasa gusar dengan kerjasama Mahathir- Anuar Ibrahim – Lim Kit Siang. Bahkan ada ahli UMNO yang terus keluar parti dan menyertai PPBM kerana percaya Mahathir mampu menumbangkan UMNO pada PRU14.

Kepimpinan UMNO tidak berdiam diri selepas keputusan Mahathir menyertai PH. Parti terbesar dengan keahlian 3.6 juta itu terus menyerang Mahathir dan kisah-kisah silam sepanjang 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri telah digali semua untuk memulakan perang persepsi.

Jelas tindakan UMNO mengungkit skandal lampau Mahathir adalah bermotifkan politik bertujuan mendedahkan karektor Mahathir. Media-media tradisional sama ada cetak atau televisyen yang dikuasai kerajaan dan rangkaian media sosial telah dikerahkan bagi memastikan kejayaan misi membunuh karektor Mahathir yang berstatus Negarawan itu.

Salah satunya usaha UMNO adalah menubuhkan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI Forex) untuk menyiasat urus niaga sekitar awal 90-an kerana ia tahu Mahathir dan Anwar Ibrahim adalah pemain utama yang menyebabkan kerugian wang negara RM31.5 bilion.

Menggunakan strategi serampang dua mata, UMNO memastikan Lim Kit Siang turut terkena tempias kerana pemimpin DAP itulah individu pertama yang mencadangkan siasatan RCI Forex.

RCI Forex itu merupakan ‘balas dendam’ UMNO kepada Mahathir dan PH yang tidak henti-henti menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan skandal 1MDB. UMNO juga mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa Mahathir yang sibuk menunding jari kepada Najib rupanya terpalit dengan skandal yang lebih teruk.

Namun perkembangan mutakhir juga menunjukkan UMNO tidak perlu lagi berusaha keras untuk melondehkan karektor Mahathir. Ia yang hanya perlu memantau dari jauh sambil menikmati “pop-corn” apabila Mahathir sendiri mendedahkan kepada rakyat wajah sebenar beliau yang selama ini terselindung di sebalik kejayaan-kejayaan membangunkan negara.

Konflik beliau dengan DYMM Sultan Selangor menunjukkan ego Mahathir melangit sehinggakan payah untuknya menzahirkan permohonan maaf kepada baginda Sultan. Mahathir seperti tiada hormat kepada Sultan Selangor. Malah, beliau seperti mahu mencabar kesabaran Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah punberang keceluparan Mahathir menghina keturunan Bugis. Awalnya Mahathir mahu memalukan Najib pada Himpunan Anti Kletokrasi tetapi strateginya itu makan diri sendiri.

Mahathir bertindak kurang ajar dengan memulangkan dua pingat kebesaran yang dianugerahkan Almarhum Sultan Selangor, ayahanda kepada Sultan Sharafuddin.

Perbuatan Mahathir itu memberi persepsi negatif kepada orang Melayu khususnya di kawasan luar bandar. Isu-isu melibatkan Sultan dan raja sangat sensitif kepada masyarakat Melayu kerana institusi raja-raja Melayu lambang ketuanan Melayu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan sikap Mahathir dalam konflik itu adalah penderhakaan kepada Sultan dan raja Melayu. Tidak hairan jika masyarakat Melayu terutama di luar bandar berhenti menyokong Pakatan kerana kecewa dengan sikap Mahathir yang tidak beradab dan melangkaui tata susila orang Melayu.

PH perlu bijak menangani konflik Mahathir dan Sultan Selangor jika tidak mahu hilang undi Melayu. Kesan itu diakui beberapa penganalisis politik termasuk pro Pakatan seperti Wan Saiful Wan Jan.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...