PPBM nafi PKR letak syarat sebelum setuju Tun M jadi PM


(Antara Pos) – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menafikan wujud beberapa syarat yang dikemukakan PKR sebelum parti itu bersetuju dengan pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Naib Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam masa sama tidak menafikan adanya perbezaan pendapat sesama parti komponen PH dalam menentukan calon layak untuk dilantik sebagai perdana menteri dan timbalannya.

“Mestilah ada pandangan berbeza dalam mana-mana organisasi. Namun ia bukanlah boleh memecah belahkan keadaan. Adalah sedikit pendapat sana sini, yang boleh kita bawa nanti. Namun tidak ada, belum bagi lagi kepada kita. Kalau betullah ada syarat mereka, bawa ke mesyuarat dan suarakan nanti,” katanya kepada Antarapos, hari ini.

Terdahulu sebuah portal yang memetik sumber dalaman PKR, melaporkan parti itu meletakkan tiga syarat sebelum ia bersetuju dengan cadangan PH untuk mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Dikhabarkan keputusan itu dicapai semasa PKR mengadakan mesyuarat biro politik pada 19 Disember lalu yang dihadiri pemimpin-pemimpin utamanya.

Syarat pertama yang didakwa diletakkan PKR adalah supaya Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dengan segera dan dilantik sebagai perdana menteri dalam tempoh antara enam hingga dua belas bulan.

PKR juga meminta diberikan 60 dari 165 kerusi Parlimen, jumlah terbesar berbanding peruntukan dari parti-parti lain di bawah gagasan pembangkang tersebut.

Malah PKR juga meminta Dr Mahathir, selaku Pengerusi PH bersetuju dengan reformasi yang ingin dilakukan terhadap institusi-institusi penting di negara ini.

Sumber portal itu menyebut bahawa syarat-syarat itu akan dibawa kepada Dr Mahathir dan perlu menandatanganinya sebagai tanda persetujuan.

Bawa syarat dalam mesyuarat PH

Rashid ketika menyentuh kandungan syarat, iaitu membebaskan Anwar dan melantiknya sebagai perdana menteri, sekali lagi berkata tidak ‘mendengar’ cadangan seperti demikian.

“Tidak ada dikemukakan secara rasmi. Dalam pakatan sebegini, jika ada syarat-syarat (lain) yang lebih dari apa yang sudah dipersetujui mereka kena bawa ke dalam mesyuarat,” katanya.

Tanpa merujuk secara langsung, Rashid membidas sikap segelintir pemimpin parti yang bertindak sebagai ‘sumber’ dan menyebarkan maklumat yang belum diputuskan, malah lebih teruk lagi seolah-olah melangkaui kuasa Presiden.

“Mereka belum kemukakan apa-apa (syarat). Jadi saya ambil kira dengan apa yang dipersetujui pada awalnya dengan calonnya, namun itu pun tidak patut diisytiharkan. Tetapi mereka juga yang isytihar. Susahlah jika ada banyak sangat ‘kucing kurap’ dalam parti.

“Anda lihat siapa yang buat kenyataan itu. Sedangkan ia perlu datang daripada Presiden parti, (adatuk Seri Dr) Wan Azizah.. Dia patut berkata kerana dia antara salah seorang yang hadir dalam mesyuarat itu yang kita sebut hendak calonkan siapa-siapa itu,” kritiknya.

Dalam pemukiman PH yang diadakan selama dua hari pada awal Disember lalu, dikatakan gagasan itu menamakan Dr Mahathir dan Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri dan timbalannya.

Perkara itu dilaporkan di sebuah portal yang memetik sumber dalaman parti, yang kemudiannya disahkan oleh ahli Biro Politik PKR, Datuk Johari Abdul. Menurut Johari, cadangan itu dibuat semasa pemukiman PH dan hanya menunggu kelulusan Anwar.

Dilaporkan DAP, Amanah dan PPBM bersetuju dengan dua nama berkenaan, namun persetujuan dari PKR masih ‘tergantung’ memandangkan ia memerlukan perbincangan lanjut dalaman parti dan menunggu restu Anwar.

Mengulas hal itu, Rashid tidak menafikan wujud sokongan terhadap pencalonan dua nama itu, namun gagasan itu memerlukan konsensus daripada keempat-empat parti.

“Jelas bahawa majoriti mahu. Namun mereka mahukan konsensus, bukan majoriti. Konsensus bermakna semua pihak. Nampaknya belum ada konsensus. Ada cadangan untuk Dr Mahathir tetapi belum ada konsensus, kita faham yang itu. Sebab PKR ada mereka punya pandangan. Dan itu hak mereka, dan kita hormati hak PKR sebab mereka parti yang wujud lama, sakit bangun dah lama,” jelasnya.



Comments
Loading...