Tanpa Pemilihan, Mukhriz Dua Kali ‘Naik Pangkat’
(Sinar Harian)- Bekas penaja PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman, mendakwa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai sebab tertentu kembali aktif dalam politik sekaligus mengkritik golongan yang meninggalkan parti tersebut. Kamarulazman berkata, belum pun Mesyuarat Agung Tahunan Bersatu dijalankan, anaknya, Datuk Seri Mukhriz telah diangkat oleh tangan ghaib sebanyak dua kali untuk merampas jawatan dengan cara yang menimbulkan persoalan.
“Bagaimana anak emas ini boleh mendapat kenaikan jawatan tanpa sebarang pemilihan dijalankan, ganjil, dari bendahari ke naib dan dari naib ke timbalan presiden?
“Ini menjawab persoalan mengapa Mahathir bergiat semula dalam politik dan mengkritik kami yang meninggalkan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Kamarulazman berkata, Mahathir juga sekali lagi mengambil peluang dalam ucapannya untuk menggelar golongan yang meninggalkan Bersatu sebagai sampah.
“Mengapa beliau begitu berminat dengan ‘kewujudan’ kami? Pasti ada sesuatu bahaya yang kami bawa terhadap Bersatu dan anaknya Mukhriz, nampaknya beliau bersungguh-sungguh ingin membunuh karakter dan kredibiliti kami kalangan pemimpin dan ahli Bersatu,” katanya.
Menurutnya, tindakan itu juga adalah sebagai langkah Mahathir untuk menutup mulut dalam menyatakan pandangan bahawa Mukhriz tidak mempunyai apa yang perlu untuk menjadi seorang pemimpin politik yang berkebolehan.
Jelasnya, Mahathir tidak perlu berpura-pura dengan matlamat sebenar perjuangannya dalam Bersatu.
“Apakah sebenarnya jawatan Mukhriz dalam Bersatu? Sungguh memalukan, ini sepatutnya tidak berlaku. Saya masih ingat lagi jawatan sebenar Mukhriz ketika mesyuarat penaja Bersatu dijalankan. Mukhriz dilantik sebagai bendahari dan saya setiausaha.
“Saya masih ingat lagi bagaimana berlaku ‘perubahan’ (penipuan?) ketika saya serah dokumen pendaftaran Bersatu ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Saya serahkan senarai jawatankuasa Bersatu di mana Mukhriz sebagai bendahari, seperti apa yang diputuskan oleh mesyuarat penaja,” dakwanya.
Namun, Kamarulazman berkata, dia tergamam apabila pegawai ROS bertanggungjawab bertanya kepadanya mengenai kewujudan dua senarai jawatankuasa berbeza.
Kemudian katanya, dalam mesyuarat luar biasa yang tidak diiktiraf oleh ROS, Mukhriz sekali lagi dinaikkan pangkat ke jawatan timbalan presiden.