Senang laksana hukum Islam di bawah Najib, kata Hadi
(FMT) – Presiden PAS berkata ia berlainan pada zaman Dr Mahathir, di mana Islam dihina.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS lebih mudah untuk melaksanakan hukum Islam di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak berbanding dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dulu.
Presiden PAS itu berkata, di bawah Dr Mahathir, Islam dihina dan hukum Islam diketepikan.
“Kalau dulu zaman Dr Mahathir, dia hina Islam. Tutup aurat pun dia kata bukan agama suruh, tetapi adat saja. Dia tak nak kita laksanakan hukum Islam,” katanya dipetik Berita Harian.
Kenyataan Hadi itu menyusul selepas serangan terbaru Dr Mahathir semalam terhadap Hadi yang didakwa bekerjasama dengan Umno untuk memecahkan undi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata Hadi melanggar prinsipnya sendiri ketika mengharamkan kerjasama dengan Umno.
“Mereka (PAS) hanya menolong kawan baik mereka yang dulunya kafir dari Umno. Najib adalah kafir, itu menurut PAS lah,” kata Dr Mahathir merujuk petikan ucapan Hadi pada awal 1980an yang dikenali sebagai “Amanat Hadi”.
“Dia akan bantu kafir ini yang mana dia kata kalau kerja dengan kafir, akan jadi kafir. Sekarang mereka bekerjasama dengan Umno, maknanya dia sedang kafirkan diri sendiri.”
Dalam reaksinya, Hadi enggan mengulas lanjut kenyataan Dr Mahathir itu, sebaliknya berkata beliau berharap bekas perdana menteri itu akan “bertaubat”.
“Memang melampaulah. Tetapi biar dia insaf sendirilah. Dia orang tua dah,” kata Hadi.
Menurut Hadi, hasil “politik matang dan sejahtera” yang diamalkan PAS terhadap Umno, ia membolehkan pelaksanaan beberapa hukum Islam.
“Perdana menteri sekarang, kita boleh berbincang, kerana kita perlu kepada perubahan. Kalau zaman Mahathir, dia tak mahu fikir kita nak laksanakan Islam,” katanya.