LAYAKKAH PAS MENYAINGI BN DAN PH?


DARI SUDUT LAIN

Perkembangan politik mutakhir ini membuatkan rakyat perlu berfikir panjang sebelum memilih. Pilihanraya yang bakal dihadapi benar-benar berbeza dari sebelum ini. Pertamanya kerana buat pertama kali dalam sejarah, PRU kali ini hampir pasti berlaku pertembungan lebih dari dua penjuru di sebahagian besar parlimen dan juga DUN. Kedua, banyak pihak telah beralih kem dan menukar parti. Pakatan dan kerjasama politik juga telah berubah.

Secara kasarnya, pengundi perlu memilih antara tiga pihak. Pihak pertama adalah Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh UMNO, pihak kedua adalah Pakatan Harapan (PH) yang didominasi oleh DAP dan diketuai oleh Dr Mahathir, dan pihak ketiga pula adalah Gagasan Sejahtera (GAGASAN) yang ditunjangi oleh PAS. Namun beberapa parti kecil lain mungkin akan turut bersaing seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) atas protesnya terhadap PH yang bekerjasama dengan Mahathir, juga Parti Cinta Malaysia (PCM) yang mesra GAGASAN atas protes mereka terhadap DAP.

Melihat kepada BN, tidak dinafikan mereka memiliki kelebihan sebagai penyandang kerajaan. UMNO sebagai parti terasnya tidak pernah dikalahkan sejak merdeka lagi. Namun kebelakangan ini, semakin banyak isu-isu urustadbir dan penyelewengan yang dihadapi oleh mereka. Ditambah dengan isu kos sara hidup dan kelembapan ekonomi, BN memiliki bagasi isu yang sangat berat untuk dipikul pada PRU kali ini.

PR pula merupakan pakatan pembangkang terbesar dengan dominasi DAP. Mereka dibantu dengan pengaruh Dr Mahathir yang lebih bersifat individual walaupun menubuhkan parti PPBM. Selain itu, ramai bekas ahli Umno lain yang sebelum ini berada dalam kerajaan bersama mereka seperti pemimpin PKR, PPBM dan melayu dalam DAP. Namun, PH mempunyai masalah yang lebih besar, iaitu soal survival Islam dan kepentingan orang melayu yang terancam.

Oleh kerana kedua pihak ini bermasalah, perhatian dialihkan kepada pilihan seterusnya iaitu GAGASAN yang dipimpin oleh PAS. PAS sudah dikenali sebagai parti yang begitu tegas dalam menjaga kepentingan Islam. Atas dasar itu, mereka sanggup untuk memutuskan kerjasama dengan DAP dan PKR. Atas dasar itu juga, mereka terbuka untuk bertaawun dengan UMNO, badan kerajaan dan NGO dalam isu agama seperti RUU355, pembelaan Rohingya dan juga Palestin.

Walaubagaimanapun, persoalan yang masih bermain di kalangan pengundi adalah, apakah PAS bersama GAGASAN mampu untuk mentadbir Malaysia dalam konteks sebuah negara?

Persoalan ini timbul kerana kebanyakan melihat imej PAS sinonim dengan agama. Bila fikir tentang institusi agama, ia tidak lebih sekadar masjid, madrasah dan acara-acara keagamaan. Kebanyakan pemimpin PAS pula berimej agamawan dengan jubah, serban dan kopiah. Ditambah pula dengan desas-desus menyatakan kebanyakan profesional dalam PAS telah keluar sebaik pemimpin profesional terkeluar dalam pemilihan parti itu pada tahun 2015.

Mungkin PAS juga memikirkan perkara yang sama. Kerana itu kita lihat PAS cuba menangkis dakwaan-dakwaan tersebut dengan membariskan pemimpin bukan bidang agamawan di peringkat tertinggi. Bahkan jika dilihat, sebenarnya yang berjubah, berjanggut dan berserban itu ada juga lulusan undang-undang, kejuruteraan, ekonomi dan lain-lain. Selain itu, mereka ada menubuhkan badan profesional khusus seperti Jabatan Profesional Muda PAS, dan menganjurkan program Konvensyen Profesional PAS awal tahun lepas.

PAS juga memperkenalkan beberapa produk yang memperlihatkan mereka tidak ketandusan pakar-pakar di bidang lain. Pertama mereka menawarkan agenda Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Kemudian mereka meluncurkan Dokumen Hijau (DH) yang menawarkan beberapa solusi kepada permasalahan semasa negara.

Paling terserlah apabila mereka melancarkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051) pada program Himpunan Fastaqim di Terengganu tahun lepas. Belum ada lagi pihak selain kerajaan yang menawarkan sebuah kerangka model pemerintahan tersendiri selain PAS. Pihak lain sekadar membangkang dan mengkritik dasar kerajaan. Berlainan PAS, mereka tidak sekadar membangkang tetapi turut menawarkan agenda ke arah anjakan baru.

WINS 2051 mungkin boleh dianggap sebagai alternatif kepada TN50 yang menjadi kesinambungan kepada Wawasan 2020 dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ia juga mungkin kesinambungan kepada Dokumen Negara Islam dan Dokumen Negara Berkebajikan yang pernah ditawarkan PAS sebelum ini.

Jika diteliti dokumen WINS 2051 dan juga video pelancaran yang disebarkan, ianya menggambarkan bahawa PAS sebenarnya memiliki ramai pakar dalam berbagai bidang. Mustahil dokumen selengkap itu boleh dibangunkan dengan hanya golongan berlatarbelakang pendidikan agama semata-mata. Tetapi ia tetap mengekalkan imej PAS yang asal, dengan berpandukan kepada ayat-ayat al-Quran dalam menjustifikasikan agenda yang dibawa.

Ia sekaligus menggambarkan PAS merupakan sebuah parti politik yang berwawasan. Mereka berjaya menyangkal dakwaan bahawa parti tersebut merupakan parti barbaric dan akan membawa negara ke arah kemunduran. Nyata mereka tidak hanya pandai bercakap tentang hukuman-hukuman Islam seperti Hudud dan Qisas sahaja.

Walaubagaimanapun, dari sudut promosi ia masih dilihat belum meluas. PAS dilihat belum menggembelingkan seluruh jentera penerangannya untuk tujuan ini. Jika mereka serius untuk menawarkan anjakan kepada negara, PAS perlu gigih memberi penerangan dengan berbagai cara kepada berbagai lapisan. Mereka memiliki kelebihan di atas perkara-perkara negatif yang ada pada BN dan PH.

Sejauh mana WINS 2051 ini mampu untuk meyakinkan rakyat bahawa PAS layak untuk mengemudi Malaysia? Semua itu hanya akan terjawab dengan keputusan PRU14 nanti.

 



Comments
Loading...