Pakatan pilih Dr M calon PM, Anwar menyusul
Wan Azizah Wan Ismail dipilih sebagai calon timbalan perdana menteri PH dan Anwar akan dilantik sebagai perdana menteri ke-8 selepas dia dibebaskan dari penjara.
(FMT) – Pakatan Harapan (PH) hari ini mengesahkan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dipilih sebagai calon perdana menteri, jika gabungan 4 parti pembangkang itu memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah turut mengumumkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi timbalan perdana menteri.
Pengumuman itu menamatkan semua spekulasi mengenai calon pilihan PH untuk menerajui kerajaan mereka.
PH turut mengumumkan akan menggunakan semua saluran undang-undang untuk membebaskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara, bagi membolehkan beliau menjadi perdana menteri ke-8.
“Untuk memperkukuhkan kepimpinan PH dan memperteguh muafakat antara parti-parti anggota, proses undang-undang untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dikemukakan segera, selepas PH mengambil alih pentadbiran negara agar Anwar dapat segera berperanan dalam kerajaan persekutuan,” kata Saifuddin pada Konvensyen PH 2018 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).
Saifuddin berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat antara semua pemimpin tertinggi 4 parti dalam gabungan berkenaan, semalam.
Mereka turut mencapai persetujuan dalam pembahagian kerusi Parlimen di kalangan 4 parti itu di Semenanjung Malaysia pada PRU14 seperti berikut:
PPBM: 52 kerusi
PKR: 51 kerusi
DAP: 35 kerusi
Amanah: 27 kerusi
Saifuddin turut mengumumkan 13 pembaharuan utama yang akan dilaksanakan sebaik sahaja PH mengambil alih pentadbiran negara.
* Membentuk Kabinet berwibawa, gandingan berpengalaman, berkelayakan dan berkemampuan.
* Menjadikan Parlimen institusi kukuh, bebas dan dipimpin yang di-pertua adil dan berwibawa.
* Memulihkan ekonomi negara dan meringankan beban kos sara hidup, antaranya menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menstabilkan harga petrol dan memfokuskan usaha menambah pendapatan rakyat
* Melaksanakan reformasi menyeluruh meliputi reformasi institusi, pendidikan, ekonomi dan sosial seperti terkandung dalam manifesto PH.
* Mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 2 penggal PRU.
* Memastikan ketua institusi penting negara termasuk peguam negara, ketua polis negara, panglima angkatan tentera, ketua pesuruhjaya SPRM, pengerusi SPR dan ketua audit negara bebas daripada pengaruh penguasa politik. Mereka akan melalui proses pengesahan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan akhirnya dilantik Yang di-Pertuan Agong.
* Membersihkan Malaysia daripada najis rasuah dengan mendakwa pelaku rasuah di mahkamah, dan jika disabit bersalah, maka akan dikenakan hukuman setimpal;.
* Memastikan institusi awam seperti Felda, Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Majlis Amanah Rakyat diurus secara cekap, telus dan beramanah.
* Membela kebajikan rakyat, terutamanya golongan miskin, ibu tunggal, orang berkelainan upaya dan kumpulan berpendapatan rendah.
* Merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan desa, serta antara wilayah dengan tumpuan khusus kepada hak rakyat Sabah dan Sarawak sejajar semangat Perjanjian Malaysia 1963
* Mengkaji semula sistem percukaian negara untuk memastikan pembayar cukai, terutamanya golongan kelas menengah, tidak tertekan dengan bebanan cukai berganda
* Menghormati prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang
* Menjunjung prinsip utama Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, hak setiap individu untuk mengamalkan agama masing-masing, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak sah untuk semua kaum, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kemuliaan institusi Raja-raja Melayu.
Hari ini, Jabatan Penjara mengesahkan Anwar akan selesai menjalani hukuman penjara 5 tahun pada 8 Jun ini, berdasarkan amalan memendekkan hukuman di bawah peraturan penjara.
Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, berdasarkan Seksyen 44 Akta Penjara 1995 serta Peraturan 43 (1)(a) Peraturan-Peraturan Penjara 2000, banduan yang dijatuhkan hukuman lebih sebulan boleh diberikan remitan 1/3.
Mandat BN memerintah negara akan tamat pada Ogos ini dan PRU14 perlu diadakan sebelum 24 Ogos 2018.