Veteran PKR Terhidu Mahathir Pandu Pakatan Harapan Ke Arah Agenda Peribadi


(AIDC News) – Ahli Biro Politik PKR, Dr Syed Husin Ali terhidu Tun Dr Mahathir memandu Pakatan Harapan (PH) bukan untuk memperjuangkan rakyat, sebalik ke arah agenda peribadi.

Ini diisyaratkan melalui kesungguhan PH mahu menamakan siapa bakal Perdana Menteri, berbanding dengan isu-isu rakyat yang lebih penting.

“Kenapa perlu terburu-buru memutuskannya? Sekarang ini kelihatan seolah-olah soal menamakan nama calon PM paling penting sekali.

“Lebih buruk lagi sudah timbul pula anggapan semacam isu ini didorongkan oleh agenda peribadi,” kata veteran PKR itu kepada The Malaysian Insight.

Syed Husin yang juga bekas timbalan presiden PKR berkata perjuangan mereformasikan sistem dalam negara lebih penting berbanding dengan siapakah calon PM.

“Untuk mencapai ini perlulah diperjuang perubahan besar atau reformasi segala sistem dan institusi yang bobrok agar dapat ditegakkan yang lebih adil dan saksama.

“Nyata sekali matlamat perjuangan PH itu besar, jauh lebih besar daripada soal menentukan PM. Berhentilah membesar-besarkan isu PM ini,” katanya.

Awal Disember lalu, pimpinan tertinggi PH dilaporkan telah bersetuju untuk menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isteri Anwar dan presiden PKR, sebagai calon timbalan perdana menteri dan ia bakal diumumkan dalam konvensyen PH, Ahad ini.

Namun, PKR khusus Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim tidak bersetuju menamakan Mahathir sebagai PM.

Pada PRU 13, Pakatan Rakyat (PR) khususnya PKR dan DAP menobatkan Anwar sebagai calon PM, jika PR berjaya menawan Putrajaya pada PRU itu.

Mahathir dalam kenyataan media semalam menegaskan calon PM perlu diumumkan dalam konvensyen PH Ahad ini kerana ia merupakan satu keperluan.

“Kami tidak boleh umumkan selepas PRU-14, pada ketika itu sudah terlambat, mestilah sebelum pilihan raya.

“(Ia akan diumumkan) selepas konvensyen itu,” kata Mahathir yang juga Pengerusi PH.

Akhbar Straits Times Singapura melaporkan PKR memutuskan untuk mengikut keputusan Anwar Ibrahim dalam soal calon PM.

Namun, Mahathir menolak dakwaan tersebut sebagai hanya spekulasi.

“Kamu boleh katakan ia hanya khabar angin, tetapi kebenaran akan diketahui selepas konvensyen itu,” katanya.

 



Comments
Loading...