KAFIR HANYA KERANA PAS BERBAIK DENGAN UMNO


KE ARAH POLITIK MALAYSIA YANG MATANG (SIRI 12)

DARI SUDUT LAIN

Sayu hati melihat rakaman video bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, memaki hamun Presiden PAS. Sejak dari muda, beliau memang memusuhi PAS. Tapi kali ini lebih dahsyat. Beliau mengaitkan ulama itu dengan pengkhianat dan kafir. Alasannya, kerana PAS kini berbaik dengan UMNO.

Sedih kerana beliau dahulu adalah ahli UMNO dan boleh dianggap sebagai mentor Najib. Beliau adalah bekas pemimpin negara yang bergelar Bapa Pembangunan. Beliau juga sudah tua, 92 tahun. Sepatutnya bicara beliau lebih matang dan berhemah. Tindak-tanduk beliau boleh dijadikan tauladan baik. Tetapi reaksinya hari itu begitu tertekan dengan sikap PAS yang memilih untuk mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Apa sebenarnya masalah untuk PAS berbaik dengan UMNO? Mereka merupakan dua parti yang didominasi oleh Muslim. Kedua pemimpin parti itu adalah Muslim. Bukankah Muslim itu bersaudara? Bukankah itu yang diajar di dalam Islam?

Perbezaan politik tidak seharusnya mengheret mana-mana orang Islam untuk berbencian dan berjauhan. Mereka hanya berada dalam dua parti yang berbeza. Tetapi mereka tetap satu akidah dan satu agama. Persaingan politik ada batasnya.

Hari ini PAS dilihat cuba untuk keluar dari budaya politik konvensional yang telah lama membelenggu negara. Politik berbencian dan maki hamun antara parti pemerintah dan pembangkang, kini perlu diganti dengan politik kasih sayang dan matang. Sepatutnya Dr Mahathir yang telahpun berjaya mencapai kedudukan tertinggi dalam karier politiknya menjadi duta ke arah politik yang matang. Budaya politik baru perlu diterapkan.

Namun Dr Mahathir dilihat cuba untuk mengundurkan Malaysia ke zaman lampau. Parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) pula tiada satupun yang menegur bekas PM itu walaupun mereka mendakwa membawa agenda progresif, rahmat dan keharmonian. Jelas politik sebagaimana yang diamalkan Dr Mahathir dalam sidang medianya itu sudah tidak sepatutnya wujud di zaman ini.

Sepatutnya semua pihak tidak kira BN mahupun PH bekerjasama dengan PAS yang mahu membawa agenda BPMS. Agenda tersebut jelas membawa kebaikan untuk negara. Apa salahnya kita mengamalkan sikap bantu membantu dalam perkara kebaikan walaupun berada di bawah payung parti yang berbeza? Al-Quran sendiri memerintahkan umat Islam bertolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan.

Salah satu kriteria BPMS adalah politik damai dan diplomasi. Mungkin kerana krieria inilah, kita lihat PAS mengambil sikap mendekati dan menasihati kerajaan, tidak lagi bersikap menentang keras dan menghentam. Bukan tidak menentang langsung, tetapi sangat berbeza dari pendekatan mereka yang dahulu.

Politik damai dan diplomasi ini dilihat sangat baik. Sekiranya tercetus sesuatu isu, parti politik disarankan untuk bertemu dan diadakan sesi penjelasan dan soal jawab sesama mereka terlebih dahulu. Dapatkan maklumat yang sahih sebelum membuat ulasan secara sebelah pihak. Seperti mana yang PAS lakukan dalam isu 1MDB dan GST.

Dalam isu yang melibatkan kepentingan bersama sebagai contohnya isu pengumuman Jurusalem sebagai ibukota Israel, parti politik harus mengenepikan perbezaan mereka seketika untuk bersolidariti atas nama agama. Sikap PAS yang begitu terbuka dilihat sangat baik apabila mereka sedia berkongsi pentas bantahan di Masjid Putrajaya dengan pihak Kerajaan yang ditunjangi UMNO dan NGO-NGO lain. Penganjuran program Solidariti al-Aqsa di Putrajaya melibatkan berbagai parti itu adalah satu perkara yang sangat positif.

Walaupun PAS adalah sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam, pendekatan mereka dilihat sangat berbeza dengan kumpulan gerakan Islam lain di luar negara. Pendekatan yang mereka bawa begitu damai dan berdiplomasi, tidak bersifat radikal dan rebellious. Dalam masa yang sama, mereka tidak sekali-kali meninggalkan prinsip Islam yang diperjuangkan. Malah mendakwa pendekatan baharu ini adalah selari dengan tuntutan Islam sendiri.

Bukan sengaja memuji dan mengangkat PAS. Tapi dalam bab ini, kredit harus diberikan kepada mereka.

 



Comments
Loading...