Sebaik sahaja umum Dr Mahathir calon PM, pembangkang semakin bercelaru
1. Tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana akhirnya dinobatkan calon Perdana Menteri interim untuk Pakatan Harapan. Adakah rekod dunia juga bakal dipecahkan apabila calon paling lewat usia akan memerintah satu-satunya negara dalam dunia, perkara yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pembangkang dalam dunia. Lebih hebat dari itu, adakah Tun M akan berjaya menjadi satu-satunya PM yang menjadi PM semula selepas menjatuhkan 2 PM selepasnya. Adakah ini rekod yang mahu dicipta oleh rakyat Malaysia?
2. Ternyata Tun M adalah satu-satunya pemimpin yang hebat dalam PH, bukan mana-mana pemimpin PH yang lain termasuk TSMY. Bukan juga DSMM yang jauh ketinggalan dari bapanya. Pada usia Tun M 93 tahun juga DSMM gagal mengatasi bapanya. Kami sifatkan beliau pemimpin muda paling gagal dan tidak layak mendepani masa depan generasi millennial Malaysia. Pernah menjadi Timbalan Menteri MITI dan Menteri Besar namun terpaksa berpaut di belakang bapanya apabila lemas dalam survival politiknya sendiri. Syabas sekali lagi untuk Tun Dr Mahathir Mohammad.
3. Dalam pada itu, takziah juga kepada pembangkang, mana tidaknya tidak sampai beberapa jam pengumuman itu bait-bait perpecahan dalaman sudah timbul. Sebelum berlangsung konvensyen, PAN Johor memboikot Konvensyen Pakatan Harapan, difahamkan PAN Perak juga memboikot konvensyen tersebut. Terdapat sumber dalaman memberitahu sudah mula suara tidak berpuas hati dalam kalangan pemimpin serta ahli PAN yang rasa tertipu sebaik pengumuman Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.
4. Kemudiaan, terbaharu PKR Selangor juga mengeluarkan kenyataan mengkritik keputusan dibuat semasa konvensyen – “Dengan saki baki ruang demokrasi dan kebebasan bersuara yang ada, Keadilan Negeri Selangor dengan ini melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan pengumuman calon Perdana Menteri Pakatan Harapan.”
5. Nampaknya keputusan yang diharapkan dapat memberikan impak positif kepada pembangkang untuk menarik sokongan rakyat ditolak mentah-mentah oleh akar umbi sendiri.
6. Jelas disini, pengumuman tersebut sebenarnya tidak memberikan sebarang kesan tapi sebaliknya memberikan implikasi yang buruk kepada pembangkang sehingga menambah kecelaruan dan tidak mustahil bakal mengundang perpecahan dalaman dikalangan rakan parti dalam gabungan itu.
7. Dalam kenyataan terdahulu, Imperical menekankan tentang tiadanya “winnable candidates” dalam pembangkang, jadi dengan kemelut penolakan dalam parti pembangkang terhadap pencalonan Dr Mahathir mustahil mereka mampu menjadi “winnable government” apabila tiba masa pilihan raya umum ke-14 nanti.
8. PPBM boleh tersenyum dengan kerusi Parlimen paling banyak mereka peroleh, namun perlu diingat tanpa kerjasama dan persefahaman dengan rakan parti lain mustahil mereka mampu bergerak bersendirian untuk berdepan pilihan raya kerana jentera yang dimiliki tidak sekuat rakan parti pembangkang seperti PAN dan PKR.
9. Jika PAN Johor dan Perak serta PKR kecewa dengan keputusan pencalonan semasa konvensyen itu, rakyat dibawah ini pastinya lebih kecewa apabila mereka meletak calon yang sudah banyak kali melakukan onar kepada negara.
10. Tahniah Tun M kerana berjaya mempergunakan pembangkang untuk meletak anaknya, DS Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri baharu nanti dan takziah kepada pembangkang kerana dipergunakan. Kepada seluruh pengundi Malaysia, tepuk dada tanyalah selera marhaen. Jangan terpedaya selera ahli politik di depan mata.
Anina Saadudin
Presiden
EMPIRICAL MALAYSIA